Saturday, August 6, 2016

Pembekal pasport diminta henti bertelagah tumpu pada tanggungajawab

 | August 6, 2016
Pembekal seharusnya menumpukan pada kepentingan rakyat agar pasport dapat dibekalkan dengan lancar tanpa ada sebarang masalah.
Nur Jazlan Mohamed
PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri memandang serius masalah bekalan pasport yang disyaki berpunca daripada pembekal pasport baharu.

Berikutan itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed menggesa pembekal pasport berhenti bertelingkah dan menumpukan pada tanggungjawab membekalkan pasport tanpa sebarang masalah.
“Kelewatan proses membuat pasport ini telah menjadi isu. Saya sendiri terima banyak laporan. Pejabat immigresen dipenuhi orang awam yang tidak berpuas hati dengan kelewatan ini.

“Pembekal seharusnya menumpu pada kepentingan rakyat agar pasport dapat dibekalkan dengan lancar tanpa sebarang masalah,” katanya di Majlis Bankuet Penghargaan Kepada Rakan Niaga KL Sogo 2016 semalam, petik Bernama.

Beliau mahu pihak pembekal pasport baharu tidak lagi melengah-lengahkan masa dan menyelesaikan masalah ini secepat mungkin.
“Kami sedang meneliti semula perjanjian antara pembekal baharu jika terdapat pelanggaran kontrak dalam pembekalan pasport berkenaan,” katanya yang kesal dengan situasi yang tidak pernah berlaku dengan pembekal terdahulu.

Pembekal sebelum ini menyediakan bekalan pasport selama 10 tahun.
Dalam satu lagi isu berbeza berkaitan keselamatan negara daripada ancaman IS, Nur Jazlan akui kerajaan terus memastikan segalanya terkawal.

Ia ekoran penangkapan enam rakyat Indonesia yang didakwa merancang untuk menyerang Singapura.
Katanya, KDN sentiasa mengambil tindakan proaktif berikutan kes-kes serangan pengganas yang berlaku di negara jiran sebelum ini.

“Kita sentiasa berjaga-jaga susulan kes yang berlaku di Bangkok dan Jakarta sebelum ini, setakat ini keselamatan negara terkawal,” katanya kepada Bernama.
Semalam, enam rakyat Indonesia ditangkap di Pulau Batam selepas dipercayai merancang serangan terhadap Singapura.

Beliau juga mengesahkan, satu pertemuan dengan semua duta luar negara dijangka diadakan Selasa ini bagi menjamin keselamatan pelancong asing di negara ini berada dalam keadaan selamat.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya terus berhati-hati dan membuat laporan segera jika ternampak bungkusan atau bagasi yang mencurigakan tanpa tuannya ditinggalkan di tempat tumpuan awam.
“Jika ada bungkusan atau bagasi terutama di tempat membeli-belah atau pengangkutan awam, sila buat laporan segera, ia mungkin bahan berbahaya,” kata beliau.

Namun, jika bungkusan sengaja ditinggalkan, pihak yang berbuat demikian akan diambil tindakan kerana menggangu ketenteraman awam.

No comments:

Post a Comment