PEMENANG pingat perak acara maraton Olimpik Rio, Feyisa Lilesa dari Ethiopia memberitahu dia mungkin akan dibunuh oleh pihak kerajaaan sekiranya pulang ke tanah air.
 
Memetik laporan The New York Times, Lilesa memberitahu ancaman itu berpunca daripada tindakannya, membuat tanda pangkah (X), selepas selesai acara maraton.
 
Tanda pangkah itu merujuk kepada protes terhadap kerajaan Ehtiopia yang kini berhadapan dengan krisis politik dalaman.
 
Katanya, oleh kerana tanda protesnya itu, ada saudaranya yang telah dipenjarakan.
 
"Kalau anda bercakap tentang demokrasi, mereka (kerajaan) akan mengenakan hukuman bunuh dan sekiranya saya kembali ke Ethiopia, mungkin mereka akan membunuh, atau memenjarakan saya," katanya.
 
Dalam pada itu, katanya keadaan di negaranya kini dalam keadaan yang sangat bahaya.
 
"Protes ini adalah untuk mereka yang tidak mendapat kebebasan di negara saya ," katanya.
 
Sebelum ini, Persatuan Hak Asasi Manusia menyatakan pemerintahan di Ethiopia telah membunuh puluhan orang dalam beberapa minggu ini dek kerana tindakan anti pemerintahan yang berlaku di sana.
 
Aksi membentuk tangan berbentuk X merupakan tindakan nekad Lilesa. Bahkan Washington Post melaporkan,tindakan paling berani dalam Olimpik 2016.
 
Lilesa atlet berusia, 26, mencapai kemenangan apabila mencatatkan masa 2 jam,9 minit,54 saat.
 
Selepas mencapai garisan penamat Lilesa lantas melakukan 'pose' tanda pangkah, namun tidak ada sepatah kata pun yang diungkapkannya selepas memenangi pingat perak.
 
Gelombang protes terhadap pemerintah berlangsung dalam beberapa bulan terakhir ini. Tindakan anti pemerintahan dilakukan kerana tidak bersetuju mengenai cadangan memindahkan ibu negara dari Addis Ababa ke Oromo, yang mengancam pengusiran orang-orang di daerah berkenaan.
 
"Pemerintah Ethiopia telah membunuh orang-orang Oromo dan mengambil tanah mereka, serta mencuri  sumber  alamnya. Jadi itu yang membuat orang Oromo melakukan protes," kata Lilesa dalam satu kenyataannya selepas pertandingan.
 
Menurut Washington Post, televisyen nasional Ethiopia tidak menyiarkan kemenangan Lilesa di garisan penamat.