Sunday, August 7, 2016

'Selesai dulu masalah di Kelantan...' : Datuk Ahmad Jazlan

Sinar Harian
'Selesai dulu masalah di Kelantan...'
JERANTUT - Pas diminta menyelesaikan terlebih dahulu masalah yang ada di Kelantan sebelum bercita-cita mengambil alih Kerajaan Terengganu, kata Timbalan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Pas sebelum ini menyatakan kesediaan mengambil alih Terengganu dari Umno berikutan khabar angin mengatakan berlakunya krisis dalaman Umno di Terengganu.

Jazlan juga berkata, Pas di Kelantan sendiri mempunyai krisis  mereka sendiri seperti hilangnya keyakinan tidak hanya dalam kalangan ahli, malah Adun dan pimpinan Kerajaan Kelantan.
Tambahnya, ‎kerajaan Pas Kelantan sebelum ini mendapat mandat rakyat Kelantan atas nama Pakatan Rakyat yang kini telah dibubarkan berikutan krisis parti terbabit.
"Ini bermakna mandat rakyat tidak sama dengan pemerintahan yang ada kini berikutan beberapa pimpinan dipecat.

"Pada saya, tidak perlulah Pas memikirkan tentang Terengganu. Perbetulkan duhulu di Kelantan, bela dahulu nasib rakyat dipimpin mereka selama 26 tahun ini ‎dari isu-isu masalah sosial, pembangunan dan masalah-masalah lain yang masih belum diselesaikan oleh Pas," katanya.

Beliau yang juga merupakan Adun Machang dan Timbalan Menteri Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) itu hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Jerantut, di Dewan Majlis Daerah Jerantut, di sini, hari ini.
  
Majlis turut dihadiri oleh Ahli Parlimen yang juga merupakan Ketua Umno Bahagian Jerantut, Ahmad Nazlan Idris.
Beliau dalam pada itu berkata, golongan muda memainkan peranan penting dalam pembentukkan negara sama ada dari sudut negatif mahupun positif.

Katanya, di dalam dunia digital kini terlalu banyak rangkaian media sosial diwujudkan dan ia memberi kesan sama ada negatif atau positif kepada golongan muda.
"Kebanyakkan golongan muda menggunakan kemudahan ini untuk sesuatu yang ke arah negatif. Justeru golongan muda diingatkan untuk m‎engenalpasti kesahihan sesuatu berita yang diviralkan sebelum mempercayainya.

"Sudah menjadi cita-cita golongan tertentu untuk menjatuhkan negara dengan menyebarkan sesuatu yang boleh mempengaruhi golongan muda," katanya

No comments:

Post a Comment