Malaysiakini 19/8/16
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya kini
menunggu arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut
berhubung siasatan 1MDB.
Khalid berkata fasa pertama siasatan telah selesai dan menjangkakan
arahan daripada AG akan diterima dalam tempoh satu hingga dua minggu
lagi.
“Fasa (siasatan) pertama dah selesai, sekarang kita sedang
membincangkannya dengan Jabatan Peguam Negara dan belum selesai bincang
lagi. Kita juga sedang bincang untuk arahan lanjut.
“Saya jangka dalam satu atau dua minggu ini kerana kertas siasatan itu tebal, banyak benda yang nak kena go through. Jadi
makan masa sikit,” kata Khalid dalam sidang media selepas majlis
pemakaian pingat PDRM, di ibu pejabat polis daerah (IPD) Bukit Aman,
Kuala Lumpur.
Sementara itu Khalid berkata beliau tidak tahu mengenai penangkapan
hartawan Khadem al-Qubaisi, individu penting dalam siasatan 1MDB yang
dilapor ditahan pihak berkuasa Abu Dhabi.
“Itu saya tak tahu, kena tanya Arab Saudi,” kata Khalid ketika ditanya pemberita.
Beliau menegaskan pihaknya kini hanya akan memberi fokus kepada lima
syor yang ditetapkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara(PAC) berhubung
skandal 1MDB itu.
“Saya dah beritahu lima syor dari PAC itu adalah menjadi fokus kami
jadi saya tidak mahu polis diheret di luar daripada apa yang diarahkan
kepada kami kerana kalau tidak (fokus) siasatan ini akan merebanlah,”
kata Khalid.
Akhir Julai lalu Khalid menggesa orang ramai tidak memberi tekanan
kepada pihak polis supaya menyegerakan proses siasatan ke atas syarikat
pelaburan negara itu.
Beliau juga berkata polis tidak mencampuri kes saman sivil yang
dikemukakan oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan 1MDB
kerana ia adalah kes saman sivil.
DOJ sebelum ini memfailkan saman itu bagi merampas aset bernilai
lebih AS$1 bilion yang didakwa dibeli menggunakan dana 1MDB oleh
beberapa individu.
Ia sebahagian daripada dana AS$3.5 bilion yang disalahgunakan
melibatkan pembelian aset seperti rumah agam dan mewah, karya seni, jet
peribadi dan pembikinan filem 'The Wolf of Wall Street'.
Terbaru, hartawan Khadem al-Qubaisi dilapor ditangkap oleh pihak
berkuasa Abu Dhabi, selepas DOJ merampas hartanah bernilai AS$ 100 juta
miliknya yang didakwa dibeli menggunakan dana tersebut.
No comments:
Post a Comment