Monday, August 1, 2016

Umno pecat saya? Tiada masalah, kata Ahmad Said

31/7/16

Bekas menteri besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said pasrah jika beliau dipecat dari Umno ekoran kelantangannya mengkritik kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ujar Ahmad Said, beliau menyerahkan kepada Majlis Tertinggi Umno untuk memutuskan kedudukan keanggotaannya dalam parti itu selepas wujudnya desakan daripada segelintir pihak yang memintanya dipecat.

Beliau yang merupakan ketua Umno Kemaman berkata, sekiranya Majlis Tertinggi ingin memecatnya dari parti, beliau akan akur dengan apa juga keputusan yang akan dimuktamadkan nanti, memetik laporan Sinar Harian.

Bagaimanapun, pemecatannya, jika berlaku akan memberi kesan kepada kedudukan kerusi parti berkenaan dalam dewan undangan negeri (DUN) Terengganu kerana akan mengakibatkan jumlah kerusi yang dipegang akan sama banyak dengan pembangkang iaitu 16-16.

“Saya tidak ada sebarang masalah dan akur terhadap apa juga keputusan yang dimuktamadkan kelak, cuma apa sahaja keputusan nanti akan memberi kesan kepada kedudukan dalam Dun.
“Pada masa sekarang, saya akan bertahan dan terus menumpukan tugas sebagai wakil rakyat untuk membela nasib penduduk walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai tohmahan buruk yang dilemparkan sesetengah pihak,” jelasnya yang juga ahli dewan undangan negeri (ADUN) Kijal.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan upacara pecah tanah projek 30 unit rumah kedai Umno Bahagian Kemaman yang bernilai RM45 juta yang dibangunkan dengan kerjasama Rayhar Properties Sdn Bhd (Rayhar) di Kampung Dusun Nyior, semalam.

Dalam satu mesyuarat tertutup yang diadakan di Kuala Lumpur kelmarin, ada segelintir pihak yang juga ahli Umno menggesa pucuk pimpinan Umno memecat segera Ahmad Said ekoran kelantangannya mengkritik kerajaan dan membuat usul undi tidak percaya pada sidang DUN yang lalu.

Baru-baru ini, Ahmad Said menolak pelantikan jawatan sebagai timbalan pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang diumumkan Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman.

Rombakan dan penstrukturan semula yang diumumkan Ahmad Razif selepas mesyuarat exco negeri semalam melibatkan pertambahan dan pertukaran tugas dalam usaha memantapkan pentadbiran negeri.
"Saya rasa sekarang ini saya lebih berminat bekerja secara sukarela daripada dibayar gaji sebab saya dah berpencen," katanya pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa Persatuan Pribumi Perkasa (PERKASA) di Kuala Terengganu.
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment