Saturday, September 10, 2016

'Jangan sampai terasing di bumi sendiri'

Kebanjiran warga asing di negara ini mencari rezeki sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk membangun serta memajukan penggunaan bahasa Melayu.
Berdasarkan data rasmi Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada 2015, ada lebih 2 juta pekerja asing di negara ini yang bekerja di sektor pertanian, perkhidmatan, pembinaan, pembuatan dan pembantu rumah.
Mereka terdiri daripada warga Bangladesh, Thailand, Filipina, Pakistan, Myanmar, Nepal dan India.

Dalam keadaan mereka seramai itu dan gagal pula menguasai bahasa Melayu sesetengah rakyat negara ini kadang-kadang terasa seperti asing di tanah sendiri.
Pekerja swasta Hamidah Mustafa berkata dalam kehidupan sehariannya dia banyak berhadapan dengan pekerja asing yang hanya mampu berbahasa Inggeris sedangkan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan Malaysia.
Justeru, Hamidah menyambut baik cadangan Anggota Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang menyarankan kerajaan mewajibkan pekerja asing mengikuti - dan lulus - kursus asas bahasa Melayu sebelum diterima bekerja di Malaysia.

“Sekurang-kurangnya kena ajar bahasa asas bahasa Melayu. Sebab kadang-kadang saya rasa kita ni macam pendatang walaupun berada di negara sendiri.
“Contoh macam kalau makan dekat KLCC, kita kena cakap orang putih dengan dia (pelayan). Kita macam warga asing, terutamanya kalau mereka tak fasih bahasa Melayu,” katanya kepada Malaysiakini.

No comments:

Post a Comment