Thursday, September 8, 2016

Mahkamah Rayuan batal pertuduhan ke atas Maria Chin

 FMT| September 7, 2016
Hakim berkata, mana-mana undang-undang termasuk penghakiman mahkamah tidak boleh diguna pakai secara kebelakangan.
mari-chinPUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan membatalkan pertuduhan terhadap Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah yang didakwa gagal memberi notis kepada polis sebelum menganjurkan perhimpunan pada tahun lalu.
Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan, terdapat merit untuk membenarkan rayuannya bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang enggan membatalkan pertuduhan itu.

Beliau berkata, mana-mana undang-undang termasuk penghakiman mahkamah tidak boleh diguna pakai secara kebelakangan. Turut bersidang bersama Tengku Maimun ialah Hakim Datuk Ahmadi Asnawi dan Hakim Datuk Kamardin Hashim.
Ini bermakna, Maria tidak perlu berdepan perbicaraan bagi pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Beliau dihadapkan di Mahkamah Sesyen pada 1 Oktober 2015 atas pertuduhan gagal memberi notis kepada Polis Daerah Brickfields 10 hari lebih awal sebelum menganjurkan perhimpunan di hadapan kompleks beli-belah NU Sentral, Jalan Tun Sambanthan, Brickfields antara 2 petang hingga 3 petang 29 Ogos 2015.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan.
Chin kemudiannya mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi pertuduhan itu dibatalkan, tetapi permohonannya itu ditolak mahkamah pada 18 April lalu.

Terdahulu, peguam M Puravelan berhujah, pertuduhan dikenakan terhadap anak guamnya itu salah di sisi undang-undang kerana dibuat mengikut peruntukan yang diisytiharkan menyalahi perlembagaan oleh Mahkamah Rayuan.

Beliau berkata, ketika kesalahan itu didakwa dilakukan, keputusan dalam kes Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengisytiharkan Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman yang menghukum penganjur sesebuah perhimpunan jika gagal memberi notis kepada polis sebagai menyalahi perlembagaan, masih menjadi undang-undang yang diguna pakai.

Puravelan berkata, hanya pada 1 Oktober 2015, satu lagi panel Mahkamah Tinggi dalam kes R Yuneswaran memutuskan tidak menggunakan keputusan dalam kes Nik Nazmi dan Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman adalah sah di sisi perlembagaan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim berhujah, keputusan dalam kes Yuneswaran adalah undang-undang yang diguna pakai kerana ia merupakan keputusan terkini dan menurutnya sesuatu undang-undang itu boleh diguna secara kebelakangan.
Ketika ditemui pemberita, Maria berkata, beliau gembira dengan keputusan itu.

No comments:

Post a Comment