Malaysiakini 7/9/16
Anggota Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
menyarankan kerajaan mewajibkan pekerja asing lulus dalam kursus asas
bahasa Melayu untuk bekerja di Malaysia.
Menurutnya, selain pekerja Indonesia, kebanyakan pekerja asing yang
diambil bekerja di negara ini tidak boleh bertutur menggunakan bahasa
kebangsaan.
"Sekalipun jumlah perkerja asing yang tidak boleh bertutur
menggunakan bahasa Melayu ini tidak lebih 25.2 peratus, namun keperluan
dan kepentingan untuk mereka mengetahui dan mempunyai kemampuan untuk
menggunakan bahasa ini adalah sangat penting.
"(Ia) bagi memudahkan dan melancarkan sebarang urusan yang berkaitan
dengan mereka sekaligus dapat memperkasa dan mengembangkan penggunaan
Bahasa Melayu," katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Berdasarkan statistik rasmi Unit Perancang Ekonomi (EPU) 2015,
terdapat 2.135 juta pekerja asing di negara ini yang bekerja di sektor
pertanian, perkhidmatan, pembinaan, pembuatan dan pembantu rumah.
Jumlah tersebut termasuk pekerja-pekerja dari Bangladesh, Thailand, Filipina, Pakistan, Myanmar, Nepal dan India.
Justeru beliau mencadangkan agar kerajaan menerusi kementerian
berkenaan mewajibkan pekerja-pekerja asing yang akan atau sedang
berkerja di negara ini menghadiri serta lulus kursus asas Bahasa Melayu.
Katanya, saranan itu khususnya bagi pekerja yang terlibat di sektor perkhidmatan dan pembantu rumah.
"Pengawal-pengawal keselamatan yang diambil berkerja dari Nepal dan
dua lagi negara sumber yang akan diumumkan nanti juga merupakan golongan
yang penting untuk dipastikan mereka boleh bertutur dan menggunakan
Bahasa Melayu dengan baik.
"Golongan ini merupakan individu pertama yang akan dijumpai oleh
rakyat negara ini di pejabat-pejabat atau premis-premis untuk
urusan-urusan tertentu.
"Jika golongan ini tidak boleh berbahasa Melayu, sedikit sebanyak ia
menyusahkan rakyat negara ini dan menjejaskan imej pihak-pihak
berkenaan," jelasnya.
No comments:
Post a Comment