Wednesday, September 28, 2016

Putrajaya diseru ambil alih projek perumahan daripada Felda

 | September 28, 2016
Felda perlu kembali fokus kepada tanggungjawab utamanya iaitu survival peneroka, kata Mazlan Aliman
felda-1
KUALA LUMPUR: Kerajaan pusat perlu mengambil alih projek Perumahan Generasi Baharu Felda yang kini berdepan masalah daripada agensi itu, kata Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman.
Beliau berkata, kerajaan sepatutnya yang mengendalikan projek ini, dan Felda hanya bertindak menjadi pemudahcara untuk warga Felda mendapatkan rumah.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad dalam wawancara bersama New Straits Times semalam yang mendedahkan projek itu “tergendala sedikit” kerana belum mendapat pinjaman institusi kewangan.

“Dengan ratusan juta sudah dibelanjakan dan banyak terbengkalai, saya harap ia tidak diteruskan. Maka sempena pembentangan belanjawan akan datang, saya minta Datuk Seri Najib Razak umumkan mana-mana agensi kerajaan yang terbabit untuk ambil alih projek ini.

“Dan Felda boleh kembali menjalankan tanggungjawab asalnya seperti menjamin agar peneroka hidup selesa dan mendapat pendapatan munasabah,” kata Mazlan kepada FMT.

Katanya lagi, Felda tidak mampu lagi menambah hutang baharu di saat pendapatannya semakin berkurang, terutama selepas tanah Felda Plantations dipajakkan oleh Felda Global Ventures (FGV).
“Sepatutnya Isa memberi perhatian kepada isu utama Felda – survival peneroka, daripada fikir hal yang bukan tanggungjawab Felda tetapi kerajaan pusat,” katanya lagi.

Pada 2011, ANAK mendedahkan tindakan Felda membuat pinjaman RM6 bilion dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau turut mengulas pengumuman Isa yang Felda melalui Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) akan meneruskan projek hartanah Wembley Three di London yang bernilai RM534 juta (£100 juta).
“Dengan kantung Felda dan FGV yang diketahui bermasalah, apakah akan buat pinjaman baru?
“Adakah tindakan ini betul untuk Felda dan peneroka?” soalnya.
Ia susulan kepada dua projek Felda sebelum ini, iaitu Wembley One dan Wembley Two dengan kos RM895 juta (£167 juta).

“Lagi jauh Isa heret Felda, lagi gelap masa depan terutama peneroka. Najib sebelum ini berkata ingin membela nasib peneroka, maka langkah pertama adalah tidak sambung perkhidmatan Isa yang akan tamat Disember ini,” katanya lagi.
FMT

No comments:

Post a Comment