Wednesday, September 7, 2016

Saya tak menyesal tunjuk jari, kata Siti Kasim

FMT| September 7, 2016
Beliau bertegas rang undang-undang Akta 355 bertujuan membenarkan mahkamah syariah kuasa untuk menjalankan hukuman hudud
siti-kasim_face_600_
PETALING JAYA: Peguam dan aktivis Siti Kasim tidak menyesal menunjukkan jari tengahnya kepada hadirin wacana rang undang-undang Mahkamah Syariah Isnin lepas.

Menurut Siti, jari tengahnya ditujukan khas untuk “Islamis jahat” dan “si bodoh yang dicuci otak” yang hadir memenuhi ‘Pindaan Akta 355: Antara Realiti dan Persepsi’.
Tidak seperti wacana lain yang pernah disertainya, Siti menjelaskan golongan yang menghadiri wacana anjuran Kumpulan Karangkraf itu percaya mereka sedang menegakkan undang-undang Tuhan, oleh itu tidak boleh terima pertentangan pendapat.

“Sudah banyak forum yang saya sertai. Saya pernah ajukan soalan yang mengesankan tetapi saya tak sangka suatu hari nanti saya akan tunjuk jari pada penonton wacana,” katanya di Facebook malam tadi.
“Saya tak menyesal tunjuk jari. Bagi saya, Islamis jahat layak terima lebih daripada itu.
“Kasar? Biadab? Sejak bila seorang wanita tak boleh berlaku kasar dan biadab terhadap orang jahat dan si bodoh yang dicuci otak?”

Menurut Siti, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan, salah seorang pembahas di wacana itu, kelirukan penonton semasa menjelaskan cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, atau Akta 355.
“Pembahas daripada PAS dan Umno bertegas ia bukan rang undang-undang hudud. Walaupun bukan rang undang-undang hudud tetapi ada kena mengena dengan hudud.
 
“Tanpa rang undang-undang menghadkan hukuman mahkamah syariah, mereka tidak akan dapat menjalankan hukuman yang tertulis dalam enakmen hudud mereka.”
Takiyuddin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom nafi dakwaan itu, menjelaskan pindaan bertujuan menambah kuasa mahkamah syariah berhubung kesalahan yang dinyatakan dalam Akta 1965.

Siti bagaimanapun mendakwa rang undang-undang yang dibawa ke Parlimen oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi kuasa tanpa batas kepada mahkamah syariah untuk mengenakan hukuman hudud yang lain.
“Kesalahan hudud termasuk kesalahan zina (seks tanpa nikah), qazaf (membuat tuduhan zina yang tidak benar terhadap orang lain), syrub (minum arak) dan irtidad atau riddah (keluar agama) dan menurut Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan (II) (1993) 2015, hukuman untuk kesalahan tersebut adalah rotan antara 40 hingga 100 kali.

“RUU mahu menggantikan Seksyen 2 Akta 355 dengan seksyen baharu yang nampaknya meluaskan skop bidang kuasa jenayah mahkamah syariah, yang secara sedia ada terhad kepada kesalahan oleh penganut terhadap Islam,” dakwa Siti.

Mereka yang pertikaikan bantahannya terhadap undang-undang Islam, Siti menjelaskan perbuatannya menjawab undang-undang ciptaan manusia.
Tambahnya orang Melayu dan penganut Islam perlu dibenarkan berbincang hukuman yang ditetapkan, serta mencadangkan mereka diberi pilihan mahu diperintah undang-undang sekular atau undang-undang agama.

“Saya enggan diperintah undang-undang ciptaan manusia yang menggunakan Islam sebagai dalih. Mereka cuba dagangkan Islam. Kita tertipu lama dah.
“Saya tahu tidak mudah untuk meyakinkan golongan pelampau kerana otak mereka sudah dibasuh ustaz, mullah dan sistem kita.

“Mereka asyik brkata mengapa kita mahu halang mereka amalkan agama mereka, jadi kita tak boleh sekat mereka. Orang Melayu yang tidak mahu diperintah oleh undang-undang agama ciptaan manusia, perlu dibolehkan untuk berbuat demikian.
“Saya tidak akan tunduk kepada undang-undang ciptaan manusia yang menyamar sebagai Islam.”

No comments:

Post a Comment