SHAH ALAM – Huluran tangan antara dua seteru hampir dua dekad lamanya,
Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, disifatkan
sebagai satu amaran jelas kepada BN.
Penganalisis politik menjangkakan peristiwa itu mungkin menjadi titik
perubahan landskap politik dalam kalangan pembangkang dan politik tanah
air.
Pensyarah Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (Unimas),
Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata titik sejarah itu perlu dipandang
serius oleh BN kerana pertemuan itu bukan sekadar untuk menghantar mesej
kepada kepimpinan dalam pembangkang tetapi juga amaran kepada kerajaan.
“Sebelum mereka bertindak untuk bertemu itu, pastinya mereka sudah
membuat suatu perkiraan yang menyeluruh. Untuk itu BN perlu berhati-hati
dan melihat perkembangan tindakan selanjutnya oleh kedua-dua pemimpin
ini.
“Jelas bukan mudah utk Mahathir sendiri mengunjungi, bersalaman dan
berbicara dengan seteru politiknya selepas 18 tahun Anwar dipecat.
Maksudnya, pasti ada sesuatu yang menggerakkan beliau untuk meleburkan
ego politiknya sehingga bersedia membuka hatinya kepada orang yang
pernah dimasukkannya ke penjara...sesuatu yang amat penting dan kuat.
“Ini mungkin titik tolak yang memberi sinar baru kepada masa depan
politik Malaysia dan menjurus ke arah kerjasama politik lebih bermakna
dalam kalangan pembangkang bagi berdepan dengan BN dalam pilihan raya
akan datang,” katanya kepada Sinar Harian.
Semalam, kehadiran Mahathir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dikatakan
sebagai tanda sokongan terhadap permohonan Anwar bagi mencabar Akta
Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 menarik perhatian banyak pihak
apatah lagi kedua-duanya bersalaman selepas 18 tahun bermusuhan.
Ketika diminta mengulas soal kehadirannya ke persidangan itu, Mahathir
menafikan soal berbaik-baik namun mengulang beberapa kali kehadirannya
ada kaitan dengan akta tersebut.
Dalam pada itu, Jeniri akui masih terlalu awal untuk membuat sebarang
andaian namun sama ada pertemuan itu bakal mencoret sejarah baharu dalam
landskap politik tanah air atau tidak, ia bergantung kepada
perkembangan selanjutnya pasca pertemuan tersebut.
“Bergantung pada bagaimana perkembangan politik atau tindakan yang akan
diambil Mahathir dan kumpulan Anwar dalam minggu-minggu yang akan
datang.
“Kalau ada sesuatu yang konkrit berlaku dari segi kerjasama dalam
kalangan parti politik pembangkang ini, kemungkinan kita dapat
mengharapkan sesuatu yang lebih bermakna kerana mereka tidak ada pilihan
sebenarnya jika betul-betul nak menumbangkan BN kecuali bersatu dari
segi hati dan strategi. Ini juga termasuk dengan memastikan Pas berada
di pihak mereka,” katanya.
Sementara Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal
Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan melahirkan keyakinan pertemuan itu
bukan sekadar atas alasan MKN.
“Kalau sekadar nak menyokong isu MKN ini satu sahaja, satu kenyataan
media sudah cukup daripada pihak Tun Mahathir. Mungkin itu (sokongan kes
MKN) kenyataan politik yang dikeluarkan tapi hakikatnya lebih besar,”
katanya.
Melihat kepada suasana itu, beliau melihat Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (Bersatu) perlu segera mengambil peluang memainkan peranan atas
pertemuan itu.
“Saya lihat Bersatu ini agak perlahan dalam gerak kerjanya. Sebelah
Anwar memang sudah lama bergerak tetapi di sebelah Tun Mahathir ini
nampaknya...kalau Parti Amanah Negara (Amanah) sebelum diumumkan
penubuhan lagi, mereka sudah buat kerja.
“Bersatu ini sudah memohon untuk daftar pun tapi kelihatan masih tidak
bergerak lagi. Bersatu kena tunjuk bahawa parti itu hidup,” katanya.
Beliau yang melihat pertemuan itu sebagai bukti dalam politik tidak ada
kawan atau musuh selama-lamanya juga percaya Mahathir mengiktiraf Anwar
itu mempunyai pengaruh yang besar dalam politik Malaysia.
“Dan untuk mencapai agenda Tun Mahathir, memang sokongan Anwar itu diperlukan.
“Mungkin kedua-duanya tak setuju antara satu sama lain sepenuhnya namun yang penting sekarang musuh mereka sama,” katanya.
Mengulas kemungkinan ada penyokong yang tidak berkenan dengan pertemuan
itu, Wan Saiful berkata, penyokong tidak ada keperluan untuk
berbaik-baik antara satu sama lain.
“Mungkin ada yang tidak selesa, rasa tidak setuju kerana mereka ini
seteru sekian lama tapi sekarang ini, ada musuh yang lebih besar
daripada mereka berdua.
“Penyokong boleh kekal dengan pendirian mereka cuma perubahannya dengan
pertemuan ini ialah musuh kedua-dua pihak itu menjadi sama iaitu Datuk
Seri Najib Razak (Perdana Menteri). Saya rasa dalam politik itu yang
penting.
“Selagi mana musuh yang nak dilawan adalah entiti yang sama, pihak yang
satu lagi ini tidak perlu berkawan pun, hanya perlu melawan musuh yang
sama,” katanya.
No comments:
Post a Comment