Saturday, October 29, 2016

Tak moleklah serang Ahmad Husni, kata Pemuda Umno

Malaysiakini 29/10/16
Exco Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah meminta semua pihak dalam Umno agar berhenti menyerang bekas menteri kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah kerana beliau masih lagi pemimpin Umno.

Armand Azha menambah, tohmahan ke atas anggota Parlimen Tambun itu akhirnya memberi kesan negatif kepada parti.
"Saya rasakan cara serangan terhadap Husni ini tidak baik dan tidak bagus. 
Husni masih lagi pemimpin Umno dan ahli Parlimen BN. Tidak molek jika Umno serang Ahmad Husni sebegini.

"Ini bukan caranya menyerang kembali pemimpin dalam parti Umno itu sendiri. Saya mohon jasa baik sahabat-sahabat untuk fokus kepada perkukuhkan Umno dengan menceritakan dan memberikan penerangan tentang kekuatan Umno dan lebih ke arah politik khidmat bakti sebagai keutamaan.

"Sebagai pemimpin muda yang dilatih untuk terus menghormati yang lama dan sayangi yang muda rasakan pendekatan kasih sayang lebih baik daripada pendekatan kebencian," ujar beliau, memetik laporan Astro AWANI.
Armand mengulas kenyataan Ahmad Husni berhubung soalannya mengenai 1MDB di Parlimen.

Pada Isnin yang lalu, ketika berucap di Parlimen, Ahmad Husni buat pertama kalinya bersuara secara terbuka terhadap cara kerajaan menangani 1MDB.
"KPI (indeks prestasi utama) saya adalah yang terbaik di kalangan menteri-menteri - sentiasa melebihi 100 peratus.

"(Sebaik sahaja) saya berhenti, anda lihat di media sosial - dua hari selepas saya berhenti, mereka menyerang saya tanpa sebarang sebab.
"Saya tahu siapa 'A', 'B' dan 'C" yang menyerang saya. Mengapa bermain-main? Marilah cintakan rakyat. Kita bekerja untuk rakyat," tambah beliau.

Semasa perbahasan ucapan Bajet 2017, Ahmad Husni meminta kerajaan menyatakan sebab 1MDB ditubuhkan dan sama ada jika sebarang tindakan diambil terhadap pengurusan 1MDB kerana menyalurkan dana syarikat pelaburan negara itu ke "tempat yang salah".

Antara pemimpin Umno yang dilihat membidas Ahmad Husni sebelum ini ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang menyifatkan Ahmad Husni perlu mempunyai sedikit maruah.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa menjelaskan, persoalan yang ditimbulkan Ahmad Husni harus dilihat dari sudut positif dan mendapat perhatian serius kerajaan.

Mengulas lanjut, Armand Azha berkata, semua pemimpin Umno perlu kembali sebagai satu pasukan dan menjadikan kekuatan parti sebagai asas pengukuhan kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

No comments:

Post a Comment