Zaeinal berkata, kebanyakan muka baharu yang dilantik
itu, selama ini hanya membisu ketika pemimpin lain berjuang
bermati-matian menentang pentadbiran Najib.
PETALING JAYA: Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan lebih layak menjadi
naib presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berbanding Tan Sri
Abdul Rashid Abdul Rahman, kata ahli seumur hidup parti baharu itu.
Datuk Seri Zaeinal Abidin Omar menyuarakan bantahan dan kekecewaan
terhadap pelantikan bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),
susulan pengumuman barisan kepimpinan PPBM hari ini.
Katanya, kebanyakan muka baharu yang dilantik itu, selama ini hanya
membisu ketika pemimpin lain berjuang bermati-matian menentang
pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Mereka yang baharu dilantik pegang jawatan tertinggi ini, saya tidak
nampak keikhlasan dan pendirian melawan Najib, kita tak nak lalang yang
tidak ada pendirian jadi pemimpin.
“Kita nak pemimpin yang betul-betul ikhlas, kita tidak tahu sejauh
mana pendirian mereka sebab mereka tidak pernah tunjuk keberanian mereka
menentang Najib, mereka hanya menumpang dan ambil kesempatan di atas
kejayaan penubuhan PPBM,” katanya kepada FMT hari ini.
Pada 27 Oktober lalu, Khairuddin mengumumkan beliau keluar daripada PPBM, berkuat kuasa serta-merta.
Katanya, beliau berbuat demikian untuk menumpukan perhatian bagi
menangani kes mahkamah yang sedang dan akan berlangsung “secara
berterusan” selepas ini.
Hari ini, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Datuk
Seri Mukhriz Mahathir dipilih untuk mengisi kekosongan timbalan presiden
PPBM, sementara Rashid pula dilantik sebagai naib presiden.
Selain Rashid, 2 lagi naib presiden ialah Ketua Wanita Umno Bahagian
Gopeng yang dipecat, Datuk Hamidah Osman serta peguam, Datuk Abdul
Rashid Asari.
Bekas Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times, Datuk Kadir
Jasin; abang Muhyiddin, Tan Sri Abdul Aziz Yassin; Tariq Ismail yang
merupakan cucu bekas Timbalan Perdana Menteri, Dr Ismail Abdul Rahman
serta bekas Exco Pemuda Umno, Mohd Rafiq Naizamohideen pula dilantik
sebagai ahli MPT PPBM.
Zaeinal berkata, PPBM sepatutnya melantik Khairuddin memegang jawatan
tinggi berbanding mereka yang tidak pernah membantu dalam pembentukan
parti itu.
“Kahiruddin salah seorang individu selayaknya dilantik jawatan
tertinggi, saya berjuang dari mula bersama Khairuddin menentang Najib.
“Kita lalui pelbagai cabaran, pelbagai ugutan, ancaman dan
sebagainya, malah sanggup berkorban nyawa, keselamatan, periuk nasi pun
kita korbankan.
“Adakah mereka itu berani buat macam itu? Mereka berani buat laporan
polis, tidur dalam lokap seperti Khairuddin? Mereka semua bisu,”
katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan barisan pemimpin PPBM yang tidak
pernah berjuang untuk penubuhan parti supaya tidak membelakangkan Tun Dr
Mahathir Mohamad dalam membuat keputusan kerana kekuatan parti terletak
pada aura bekas perdana menteri itu.
Berita Berkaitan
Berita Berkaitan
No comments:
Post a Comment