Monday, November 28, 2016

Amanah yakin Pakatan Harapan tiada masalah terima PPBM

 | November 27, 2016
Timbalan presiden Amanah berkata perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat majlis presiden PH yang diadakan setiap bulan.
Salahuddin-Ayub_pakatan_600
GEORGE TOWN: Penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam Pakatan Harapan (PH) dijangka diputuskan pada 13 Disember depan.
Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat majlis presiden PH yang diadakan setiap bulan bagi membincangkan gerak kerja gabungan parti pembangkang itu.

“Saya yakin kami akan bermesyuarat tentang hasrat (Pengerusi PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad untuk Bersatu (PPBM) diterima dalam keluarga PH.

“Saya yakin dan percaya tidak ada masalah untuk menerima Bersatu menjadi satu lagi parti (gabungan) dalam PH menjadikan 4 parti iaitu Amanah, DAP, PKR dan Bersatu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pertama Parti Amanah Negara (Amanah) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Beliau berkata Dr Mahathir sendiri menyatakan PPBM tidak mahu menyertai PH sebagai “pakatan plus-plus” sebaliknya mahu diterima sebagai satu keluarga dalam pakatan.

Pada Konvensyen PH di Shah Alam 12 November lepas Dr Mahathir dilaporkan berkata pihaknya akan menyelesaikan beberapa perkara terlebih dahulu sebelum menyertai pakatan tersebut termasuk menjadikan pakatan itu sebagai satu entiti.

Sementara itu, pada konvensyen itu juga presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata walaupun secara dasarnya PPBM bersetuju untuk menyertai pakatan pembangkang itu, tetapi kepimpinan kanan parti serpihan Umno berkenaan memerlukan masa untuk berbincang lebih lanjut mengenai penyatuan itu.
FMT

1 comment: