Monday, November 7, 2016

Bapa sanggup bawa anak kecil lepas gian

Sinar Harian
Bapa sanggup bawa anak kecil lepas gian
Seorang bapa membawa anak di sebuah 'port' di kawasan ladang kelapa sawit, belakang penjara Sungai Udang di sini.
 
MELAKA - Seorang bapa tergamak membawa anak lelaki yang masih kecil bersama untuk melepaskan gian menghisap dadah di sebuah 'port' di kawasan ladang kelapa sawit, belakang penjara Sungai Udang di sini, semalam.
Lelaki berusia lingkungan 40-an itu dipercayai membawa kereta isteri dari rumahnya di Masjid Tanah dengan membawa anaknya berusia dua tahun sebelum dicekup penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Dia ditangkap dalam Operasi Port sempena Program My Beautiful Malaysia (My BM) yang turut melibatkan Japerun Sg Udang, Skuad 1Malaysia negeri dan juga SWcorp dalam operasi yang dijalankan jam 8.30 pagi hingga 12 tengah hari.
Pegawai Operasi AADK negeri, Zainuddin Hassan berkata, lelaki itu yang juga seorang peniaga dan mempunyai rekod lampau sejak 18 tahun lalu itu ditahan bersama sepuluh lelaki lain berusia lingkungan 20 hingga 60 tahun.

"Hasil siasatan, itu mempunyai rekod lampau sejak 1998 iaitu dimasukkan ke Pusat Serenti Tiang Dua selama setahun, kemudian ke Penjara Kajang selama dua bulan dan terbaharu, tahun 2012 didakwa di bawah Seksyen 32(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Siasatan lanjut juga mendapati, dia yang telah berkahwin selama empat tahun itu terpaksa membawa anak ke port tersebut berikutan isteri sedang bekerja (guru) dan tiada pilihan lain," katanya.

Beliau menambah, selain itu, antara sebelas yang ditahan hanya seorang yang didapati negetif iaitu seorang lelaki 30-an yang juga membawa dua anak namun dibiarkan bermain di taman permainan berdekatan.

"Terdapat juga seorang lelaki 30-an juga membawa dua anak lelaki berusia tiga dan enam tahun bersama namun dibiarkan di taman permainan berdekatan sementara dia masuk ke dalam port.
"Semasa ditahan, dia didapati negetif dipercayai belum sempat mengambil dadah dan memberi alasan masuk ke dalam port itu untuk mengambil motosikal daripada seorang rakan," katanya.

Menurutnya, operasi yang dilakukan itu berikutan hasil aduan penduduk sekitar yang memaklumkan banyak kes kecurian dan pecah rumah sejak akhir-akhir ini dan dipercayai kawasan berkenaan menjadi port baharu sejak sebulan yang lalu.

No comments:

Post a Comment