Friday, November 4, 2016

Bekas pegawai pendidikan sedekah petrol kepada penunggang motor Tikam Batu

 | November 4, 2016
Cikgu Ghani bercadang memberi petrol percuma kepada penunggang motosikal berkuasa 100cc ke 150cc bagi meringankan beban golongan berpendapatan rendah setiap bulan.
sedekah-petrolSUNGAI PETANI: Dianggarkan kira-kira 2,000 penunggang motosikal mengerumuni sebuah stesen minyak di Tikam Batu, dekat sini, seawal jam 6 pagi tadi, selepas Projek Sedekah Jariah pemberian minyak petrol percuma diviralkan di laman sosial sejak semalam.

Projek yang dikendalikan bekas Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Muda, Abd Ghani Haron, 60, atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Ghani, kali pertama dilakukan selepas kenaikan harga minyak petrol bermula awal bulan ini.
Abd Ghani berkata, sebaik sahaja dia tiba di stesen minyak terbabit kira-kira jam 6.15 pagi, sudah banyak motosikal yang berbaris, walaupun dimaklumkan program akan bermula dari 6.30 pagi sehingga 10 pagi.

“Projek sedekah jariah sudah banyak dilaksanakan, namun pemberian minyak petrol percuma untuk motosikal berkuasa 100cc ke 150cc ini julung kalinya dibuat untuk meringankan beban golongan berpendapatan rendah, susulan kenaikan harga minyak.

“Projek hari ini berjalan lancar, ramai penduduk tanpa mengira kaum, agama dan bangsa hadir. Sambutan hari ini membuatkan saya berhasrat menjadikannya program bulanan,” katanya kepada Bernama.
Abd Ghani berkata, bagi memastikan usahanya sampai kepada kumpulan sasar, lokasi pada masa depan akan tertumpu di kawasan kampung.

“Dana yang dibelanjakan untuk program hari ini sebanyak RM5,913 dan saya bercadang menambah sehingga RM10,000 untuk projek sedekah jariah bulan depan.
“Dari segi dana, saya mendapat sokongan kuat daripada kenalan menerusi media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp dan mengalu-alukan jika ada yang mahu menyumbang,” katanya.

Bergelar pendidik selama 29 tahun, Abd Ghani berkata, usaha yang dimulakannya itu diharap akan memberi semangat dan galakan kepada individu lain turut sama membantu sambil beramal.

“Kita ada teknologi, kenapa tidak digunakan untuk membantu mereka yang memerlukan, sedekah secara berjemaah lebih besar impaknya dan sesiapa yang mahu menghulurkan sumbangan boleh masukkan ke dalam akaun Maybank 5574 1051 5106,” katanya.
FMT

No comments:

Post a Comment