Maria berkata sumbangan daripada yayasan milik Soros itu diterima antara 2010 dan 2011, dan mengalu-alukan sebarang penyiasatan.
PETALING
JAYA: Bersih 2.0 berkata gabungan itu hanya sekali pernah menerima
sumbangan berjumlah RM70,000 daripada sebuah yayasan yang dipimpin
hartawan terkemuka George Soros, berikutan dakwaan pembiayaan kewangan
untuk beberapa pertubuhan di Malaysia bagi mempengaruhi pilihan raya
2013.
Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata sejak itu, gabungan
tersebut bergantung kepada derma orang ramai bagi aktivitinya.
“Malah kami menerbitkan akaun yang membutirkan sumber dana kami,” katanya kepada FMT.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini
menuntut siasatan ke atas Bersih 2.0, portal berita Malaysiakini dan
pusat kajian Merdeka Center, ekoran dokumen yang didakwa menunjukkan
pertubuhan asing seperti National Democratic Institute (NDI) dan Open
Society Institute (OSI) kelolaan Soros membiayai mereka.
Maria berkata sumbangan RM70,000 daripada OSI di antara 2010 dan 2011
hanya merupakan 11% daripada pendapatan Bersih 2.0 ketika itu.
Beliau berkata gabungan itu juga pernah menyaman akhbar New Straits
Times kerana mendakwa ia berpakat dengan pihak luar bagi mengganggu
kerajaan.
“NST sudah pun membuat permohonan maaf terbuka,” katanya.
Maria mengalu-alukan sebarang penyiasatan terhadap Bersih 2.0, namun
berkata ia merupakan usaha menakut-nakutkan gabungan itu dalam
perjuangannya menuntut pilihan raya adil.
Beliau turut membidas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang
meminta polis menutup jalan ke Dataran Merdeka bagi menghalang
perhimpunan Bersih 5 pada November 19.
Sebelum ini, Khairy dilaporkan membenarkan ahli Umno menyertai
kumpulan Baju Merah didalangi Datuk Seri Jamal Yunos bagi menghalang
peserta Bersih.
“Agenda kami jelas. Kami berbicara kerajaan bersih dan reformasi.
Saya mahu tahu apa pula bicara mereka. Saya mahu tahu apa agenda
mereka.”
Perhimpunan Bersih 5 dijangka diadakan di Kuala Lumpur bagi memberi
tekanan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan dan
membuka kembali siasatan ke atas skandal 1MDB.
No comments:
Post a Comment