Monday, November 7, 2016

Daulat Tuanku, kata Jamal selepas TMJ ‘tembak’ baju merah

 | November 7, 2016
Pemimpin Baju Merah itu berkata ia hanya gurauan putera mahkota Johor itu.
VIDEO INSIDE
jamal
PETALING JAYA: Datuk Jamal Yunos mengucapkan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) selepas sebuah video parodi menunjukkan putera Johor itu seolah-olah melepas tembakan ke arah sekumpulan berbaju merah yang membuat pertunjukan silat.

Video yang dimuat naik Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu dipercayai respon terhadap gerakan Baju Merah pimpinan Jamal, yang Sabtul lalu hadir bersama lebih 500 penyokong siap dengan demonstrasi silat di luar pejabat Malaysiakini di Petaling Jaya.
Jamal dalam reaksinya bagaimanapun tampak teruja dengan posting TMJ itu, dan berkata putera Johor itu hanya bergurau.

“Daulat Tuanku. Hidup TMJ. Yang buruk datangnya daripada Bersih 1 Bersih 2 Bersih 3 Bersih 4 dan Bersih 5, yang baik daripada Allah. Merah merah merah. Lawan tetap lawan, hidup merah. Tidak ada kuning, tidak ada merah,” kata ketua Umno Sungai Besar itu yang rancak dalam serangannya ke atas Berish 2.0 menjelang perhimpunan di Kuala Lumpur pada November 19.
Katanya, sebagai seorang raja sudah sudah pasti akan bergurau dengan rakyat, sambil menyifatkan TMJ “berjiwa rakyat”.

Dalam video parodi itu, 7 lelaki bertopeng meniru aksi silat seperti Baju Merah dalam protes mereka. Ia diikuti TMJ memegang sepucuk pistol sebelum melepaskan 7 das tembakan.

Video itu diakhiri dengan TMJ memandang kamera dan mengangkat bahu, disertai mesej: “Senjata tidak membunuh manusia, manusia yang saling membunuh antara satu sama lain. Keganasan dan kebencian tidak akan menjadikan negara ini tempat yang lebih baik. Kekal positif. Salam penuh kasih sayang.”

Sabtu lepas, sekumpulan penyokong Baju Merah mengadakan demonstrasi silat dengan menunjukkan kehebatan membiarkan diri dipukul berulang kali menggunakan keping kayu.

Mereka turut bersorak, “Hidup Baju Merah, Hancur Malaysiakini”, “Tutup Malaysiakini”, sebagai membantah portal berkenaan menerima dana Open Society Foundations milik hartawan Amerika Syarikat, George Soros.

No comments:

Post a Comment