Monday, November 7, 2016

Kedai farmasi jual gula, surat khabar elak tutup kedai

 | November 7, 2016
Beh berkata, "pasaran berdaya saing tinggi" memaksa kedai farmasi menjual ubat pada harga lebih murah dan "lebih ramai menamatkan perniagaan" kebelakangan ini.
Lovy-BehKUALA LUMPUR: Kira-kira 50% kedai farmasi kini beroperasi seperti “pasar mini” bagi meneruskan perniagaan kerana mereka tidak boleh mendapat pulangan modal dengan bergantung kepada jualan ubat semata-mata, kata Persatuan Farmasi Komuniti Malaysia (MCPG).

Presidennya, Lovy Beh dipetik The Star berkata, perniagaan 50% kedai farmasi bebas tidak baik menyebabkan ramai terpaksa mencari alternatif lain atau “over-servicing”.

“Over-servicing bermakna kedai farmasi menjual produk pengguna seperti sebuah pasar mini. Jadi, barang bukan farmaseutikal seperti surat khabar, majalah, gula-gula dan aiskrim dijual dalam kedai untuk menarik lebih ramai pelanggan,” katanya sambil menambah mereka tidak boleh hanya bergantung kepada jualan ubat-ubatan untuk mendapatkan modal.

Beh yang menepis dakwaan kedai farmasi menjual ubat pada harga tinggi, berkata adalah biasa untuk kedai farmasi mengenakan harga 25 hingga 30% lebih tinggi daripada kos bagi mengekalkan perniagaan.
“Tetapi hari ini, mereka hanya mengenakan harga 15% daripada kos. Malah, ada yang menjual ubat di bawah kos.”

Beliau berkata, “pasaran berdaya saing tinggi” memaksa kedai farmasi menjual ubat pada harga lebih murah dan MCPG yang mempunyai 13,147 ahli di seluruh negara nampak “lebih ramai menamatkan perniagaan” kebelakangan ini.
Kedai farmasi, katanya, terpaksa bersaing dengan rangkaian farmasi dan doktor yang dibenarkan mengagihkan ubat di Malaysia.

Beh berkata, Malaysia tidak mengamalkan pengasingan fungsi klinik dan farmasi atau Dispensing Separation (DS), di mana doktor akan memberikan preskripsi ubat dan pesakit akan mendapatkan ubat dari farmasi.

Beliau berkata, negara seperti Australia dan Britain yang mengamalkan sistem DS di mana kos dan harga runcit untuk pembayaran balik ubat diselaraskan kerajaan.

Malaysia, katanya, juga perlu berbuat demikian.
Pada 10 Oktober lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menerusi Forum Persaingan Undang-undang Dalam Sektor Farmaseutikal menyifatkan Malaysia sebagai “pulau berharga tinggi” untuk ubat farmaseutikal.

Beliau berkata, kurangnya kawalan kerajaan memberi peluang kepada pengeluar, pengedar dan peruncit menentukan harga ubat-ubatan.

No comments:

Post a Comment