Saturday, November 26, 2016

Fitnah: Exco, Ahli Majlis MBSA lapor polis

 Fitnah: Exco, Ahli Majlis MBSA lapor polis
Hian Wah (kemeja putih) bersama Khalid, Papparaidu (dua, kanan) dan ahli majlis MBSA menunjukkan dua laporan polis yang dibuat di IPD Shah Alam pagi tadi.
SHAH ALAM - Dua laporan polis dibuat Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah dan beberapa Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berhubung tuduhan kononnya kerajaan negeri mengarahkan MBSA membatalkan laporan berkaitan kekasaran terhadap seorang anggotanya di Sungai Buloh baru-baru ini.

Hian Wah ditemani Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dan Exco Kemiskinan, Kerajaan prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabtirau membuat laporan bersama wakil ahli majis MBSA di IPD Shah Alam kira-kira jam 10 pagi tadi.

Beliau ketika ditemui berkata, laporan dibuat bagi membersihkan namanya, selain menyifatkan maklumat tersebar di sebuah blog termasuk aplikasi WhatsApp sebagai laporan tidak berasas.
Katanya, beliau tidak pernah memberi arahan kepada MBSA termasuk membela pasangan suami isteri yang mengasari anggota penguatkuasa terbabit.

"Laporan tersebut tidak benar dan merupakan fitnah kepada diri saya.
"Saya tak pernah berjumpa dengan pasangan suami isteri yang dimaksudkan dan menganggap ia sebagai perbuatan kotor dan jahat yang dilakukan oleh musuh politik," katanya.

Menurutnya, beliau berharap polis dapat menjalankan siasatan profesional supaya individu yang melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu dapat ditahan dan didakwa di mahkamah.

Sementara itu, Ahli Majlis MBSA, V Papparaidu berkata, pihaknya turut membuat laporan polis bagi menyatakan pendirian tegas untuk tidak berkompromi dengan fitnah serta perbuatan yang dilakukan pihak terlibat.

"Saya selaku ahli majlis MBSA sudah mendapatkan kepastian daripada Datuk Bandar MBSA dan Exco Selangor (Hian Wah) bahawa tiada sebarang paksaan atau tekanan diberikan kepada MBSA oleh kerajaan Selangor.
"Tindakan pemilik blog berkenaan yang memviralkan isu tersebut di laman sosial termasuk WhatsApp bertujuan membuat hasutan dan mewujudkan rasa benci terhadap kerajaan Selangor," katanya.

"Kita mahu polis jalankan siasatan secepat mungkin, jangan berlengah lagi kerana ia fitnah terhadap pimpinan kerajaan negeri," katanya.
Dalam perkembangan sama, Khalid berkata, fitnah tersebut akan berterusan sehingga pilihan raya akan datang dan mengingatkan orang ramai khususnya kaum Melayu agar tidak termakan propaganda dan mainan politik kotor seperti itu.

"Tidak ada usaha untuk minta kakitangan MBSA tarik laporan polis dan kerajaan negeri beri pampasan kewangan, itu semua pembohongan berniat jahat dan kita kutuk perbuatan seperti ini," katanya.

No comments:

Post a Comment