BANGKOK - THAILAND. Beratus-ratus orang mengadakan demonstrasi secara aman tetapi dalam suasana riuh-rendah berhampiran Kedutaan Myanmar di sini hari ini bagi membantah kekejaman yang didakwa dilakukan terhadap masyarakat Rohingya di negara jiran itu.  

Tunjuk perasaan anjuran beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam itu diadakan dengan kawalan ketat anggota keselamatan.  
Peserta, termasuk anggota masyarakat Rohingya di sini, berhimpun di hadapan kedutaan itu selepas solat Jumaat dan melaungkan slogan serta menjulang sepanduk yang menggesa agar keganasan di negeri Rakhine, Myanmar, segera dihentikan.  

Mereka juga menyeru agar NGO kemanusiaan diberi akses tanpa sebarang halangan untuk ke kawasan bergolak serta membenarkan campur tangan secara langsung daripada masyaraat antarabansga bagi menyiasat dakwaan berlaku pembunuhan secara beramai-ramai di negeri berkenaan.
 
Jurucakap bagi Majlis Rangkaian Kemanusiaan Sheikhul Islam Thailand membaca kenyataan yang menyeru kerajaan Myanmar supaya membenarkan badan antarabangsa berkenaan menyiasat apa yang berlaku di lapangan.  
"Majlis menyeru kerajaan Myanmar supaya membenarkan pertubuhan antarabangsa memasuki kawasan terbabit untuk membantu mereka yang terjejas serta menyiasat tuduhan berkenaan," katanya. - Bernama