Tuesday, November 1, 2016

Perbelanjaan 1Bestari.net perlu audit susulan, kata PAC

01 Nov 16
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) hari ini mencadangkan susulan bagi audit yang dijalankan ke atas sistem 1Bestari.net di bawah Kementerian Pendidikan.

"PAC memutuskan Jabatan Audit untuk menjalankan audit susulan yang menyeluruh mengenai sama ada perkara yang dibangkitkan oleh jabatan (sebelum ini) telah diperbetulkan kerana banyak perbelanjaan kerajaan (atas 1Bestari.net) dipersoalkan," menurut laporan yang dibuat oleh jawatankuasa tersebut mengenai 1Bestari.net.

Laporan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini adalah berdasarkan prosiding yang diadakan pada 17 Mac 2015, 8 April 2015 dan 16 Jun 2015 ketika Anggota Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamad masih menjadi pengerusinya.

Selain daripada audit susulan, PAC juga mencadangkan agar audit ke atas keberkesanan pelaksanaan 1Bestari.net dan mengkaji semula kontrak di bawah program tersebut bagi memelihara kepentingan kerajaan.

1Bestari.net diperkenalkan ketika bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menerajui Kementerian Pendidikan pada tahun 2010.
Projek berkenaan bertujuan menyediakan perkhidmatan internet kepada 10,000 buah sekolah di samping mewujudkan persekitaran pembelajaran maya.
Siasatan PAC dijalankan ekoran wujudnya beberapa kelemahan dalam pengurusan kontrak.

Menurut surat pekeliling daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU) bertarikh 29 Disember 2009, projek tersebut yang bernilai lebih RM50 juta perlu menjalani penilaian makmal pengurusan nilai (VML).

No comments:

Post a Comment