Monday, November 28, 2016

Persempadanan semula: Mahkamah Tinggi benarkan permohonan Selangor

 FMT| November 28, 2016
Pesuruhjaya kehakiman berkata penangguhan itu diberi sementara menunggu pendengaran permohonan kerajaan Selangor pada 16 Disember ini untuk mendapatkan kebenaran agar diadakan semakan kehakiman.
selangor spr lawKUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan kerajaan Selangor untuk mendapatkan penangguhan sementara prosiding penyiasatan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan negeri di Selangor.

Pesuruhjaya Kehakiman Azizul Azmi Adnan dalam keputusannya berkata penangguhan itu diberi sementara menunggu pendengaran permohonan kerajaan Selangor pada 16 Disember ini untuk mendapatkan kebenaran agar diadakan semakan kehakiman.

Katanya penangguhan itu diberi kerana terdapat keadaan istimewa dan keputusan berkenaan tidak akan mewujudkan prejudis terhadap SPR mengenai “pengekalan status quo”.
Menurut Azizul, sekiranya beliau menafikan penangguhan itu dan penyiasatan diteruskan, permohonan kebenaran oleh kerajaan Selangor akan hanya bersifat akademik.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam Datuk S Ambiga yang mewakili kerajaan negeri dan Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan yang bertindak bagi pihak SPR, pengerusinya Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah serta setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh.

Pada 19 Oktober lalu, kerajaan Selangor yang diwakili Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran untuk mencabar cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan negeri di Selangor oleh SPR.

Beliau memohon mendapatkan perisytiharan cadangan persempadanan semula itu, yang dibuat berdasarkan satu kajian SPR pada 2016, tidak mengikut perlembagaan, bercanggah Fasal 2(c) dan 2(d) Perkara 113(2) Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, dan oleh itu tidak sah dan terbatal.

Azmin yang juga ahli Parlimen Gombak turut memohon mendapatkan perisytiharan kegagalan SPR menggunakan rang daftar pemilih terbaru dalam melaksanakan persempadanan semula itu adalah tidak mengikut Seksyen 3 Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, dan oleh itu tidak sah dan terbatal.

Beliau memfailkan permohonan itu dengan alasan tindakan SPR tidak mengikut perlembagaan, tidak wajar dan tidak rasional mengikut Perkara 113(2) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga memohon relif lain, termasuk perisytiharan notis yang disiarkan tidak mempunyai butiran lengkap, di mana pemilih biasa, pihak berkuasa tempatan atau kerajaan negeri tidak dapat menunaikan hak mereka untuk membuat representasi.

No comments:

Post a Comment