Gabungan itu turut memberitahu kerajaan tidak lagi
membangkitkan isu status pendaftaran Bersih 2.0 yang sudah selesai di
Mahkamah pada 2012.
KUALA
LUMPUR: Bersih 2.0 hari ini menolak usaha “menakut-nakutkan rakyat”
daripada menyertai konvoi Bersih 5 serta perhimpunan kemuncak di Kuala
Lumpur pada 19 November ini, menyifatkan seruan supaya ia diharamkan
sebagai cubaan terdesak.
Gabungan itu mengulas desakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri
Ahmad Zahid Hamidi yang mahu Bersih 2.0 diharamkan kerana tidak
berdaftar secara rasmi.
“Sekiranya beliau lupa, isu bahawa Bersih tidak berdaftar dengan
Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah pun dibangkitkan pada tahun 2012.
Tindakan Menteri Dalam Negeri ketika itu ialah Datuk Seri Hishammuddin
Hussein, mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai sebuah pertubuhan haram,
telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi,” kata gabungan itu dalam satu
kenyataan.
Pada 2012, Hakim Mahkamah Tinggi Rohana Yusof berkata pengharaman
kerajaan ke atas Bersih 2.0 merupakan keputusan “tidak rasional”, sambil
membangkitkan pertemuan pengerusinya ketika itu, Datuk Ambiga
Sreenevasan dengan Yang di-Pertuan Agong.
Bersih 2.0 turut mempersoalkan kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri
Khalid Abu Bakar yang mendakwa gabungan itu belum mendapat kebenaran
mengadakan perhimpunan yang bertujuan memberi tekanan supaya Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak letak jawatan susulan skandal 1MDB.
Menurutnya, Akta Perhimpunan Aman tidak mensyaratkan keperluan
sebarang permit atau kebenaran untuk mengadakan perhimpunan, dan hanya
perlu menghantar notis kepada polis 10 hari sebelum perhimpunan.
“Notis tersebut bertujuan memaklumkan kepada pihak berkuasa bahawa
perhimpunan Bersih 5 akan diadakan pada 19 November, dari 10 pagi hingga
6 petang. Kami ingin menegaskan bahwa notis tersebut bukan suatu
permohonan atau kebenaran untuk mengadakan perhimpunan tersebut,” kata
kenyataan itu.
Sebelum ini, Khalid berkata gabungan itu masih perlu mendapatkan
kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sekiranya mahu mengadakan
perhimpunan di Dataran Merdeka.
Datuk Bandar, Datuk Seri Mohamad Amin Nordin dilaporkan berkata Bersih 2.0 “degil” kerana meneruskan perhimpunan itu.
“Isu notis, larangan tidak rasional Timbalan Perdana Menteri, dan
kenyataan Datuk Bandar Kuala Lumpur bertujuan untuk menghalang Bersih
dan menakut-nakutkan rakyat supaya tidak menyertai aktiviti kami,” kata
Bersih 2.0.
“Kami menyeru rakyat Malaysia agar menyertai kami di perhimpunan
Bersih 5 di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu untuk menuntut
pilihan raya yang bersih, kerajaan yang bersih, demokrasi berparlimen
yang kuat, hak untuk berbeza pendapat, dan pemerkasaan Sabah dan
Sarawak.”
Mari kita uar uarkan.
ReplyDeleteKepada yg tidak dapat turut serta.... kita nyalakan lampu kenderaan tanda sokongan....