Saturday, November 5, 2016

Utamakan pekerja tempatan berbanding ekspatriat, kata Perkasa

FMT| November 5, 2016
Perkasa berkata, 150,000 daripada 400,000 warganegara Malaysia yang menganggur adalah graduan universiti.
perkasa
PETALING JAYA: Syarikat antarabangsa dan tempatan yang bertapak di Malaysia sepatutnya mengutamakan pekerja tempatan sebelum mengambil ekspatriat memandangkan sejumlah besar graduan universiti masih menganggur, kata Perkasa.
“Walaupun syarikat yang ada di dalam negara ini syarikat tempatan dan antarabangsa, mereka harus utamakan orang tempatan. Di dalam negara kita masih ramai graduan yang menganggur.

“Cuba bayangkan mereka yang tidak dapat kerja dan terus menganggur adakan rusuhan dan sebagainya, ia sekaligus akan menggugat perpaduan dan keamanan di negara ini,” kata Pengerusi Biro Integriti, Anti Rasuah dan Salah Guna Kuasa Perkasa, Azrul Akmal Saharudin kepada FMT.

Menurut statistik Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang diterbitkan dalam laporan Kementerian Sumber Manusia, terdapat 62,110 warga Bangladesh atau 37% daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja ekspatriat di negara ini.
Mengikut undang-undang, pekerja asing yang dibayar minimum RM5,000 sebulan dikategorikan sebagai “ekspatriat”, terma yang kerajaan tidak gunakan untuk pekerja asing yang dibayar gaji rendah.

Ia berbeza dengan jumlah warganegara Malaysia yang masih menganggur, iaitu 400,000 orang dengan 150,000 daripadanya adalah graduan universiti.
Azrul berkata, dalam isu ini, kerajaan perlu memainkan peranan tersendiri bagi memastikan keadaan tidak terlalu memihak kepada warga asing.

“Negara kita ini tidaklah kekurangan tenaga kerja. Mereka ini pula graduan universiti, jadi harus diberikan tempat dan peluang dan kita tidak minta mereka ini terus diberikan gaji mahal,” katanya.
Azrul percaya majikan yang sanggup mengambil ekspatriat asing mempunyai sebab tersendiri.

Beliau juga percaya sistem serta undang-undang yang mewajibkan pemberian gaji minimum RM5,000 sudah dimanipulasi.
“Adakalanya memang minimum 5,000, tetapi ada kos-kos lain yang perlu dibayar ekspatriat. Jadi, gaji yang perlu dibayar kepada mereka hanyalah RM3,000 setelah ditolak daripada gaji mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment