Ahli Parlimen Ampang itu mempertikaikan bagaimana
Datuk Jamal Yunos memperoleh kelulusan menggunakan helikopter dalam
tempoh tidak sampai 24 jam.
KUALA LUMPUR: Ketua Wanita PKR berkata beliau hairan Datuk Jamal Md
Yunos dapat kemudahan sewenang-wenangnya menggunakan helikopter komersil
untuk tujuan yang tidak bermanfaat.
Zuraidah Kamaruddin berkata ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu
memperoleh kelulusan menggunakan helikopter dalam tempoh tidak sampai 24
jam.
Katanya, beliau percaya ada pihak atasan yang meluluskan permohonan tersebut.
“Bagaimana kewangan dia (Jamal) untuk dapatkan satu perjalanan
menaiki helikopter. Kita boleh persoalkan siapa yang menjadi ‘funder’
helikopter itu.
“Saya juga persoalkan apakah prosedur, tempoh masa dan tujuan
menggunakan helikopter untuk tindakan yang tidak bermanfaat itu,”
katanya pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.
Awal hari ini, Jamal menaiki helikopter untuk meninjau “kekayaan”
Ketua Pemuda PKR Ampang Datuk Adam Rosly, 28, yang didakwa memiliki
banglo dan kereta mewah.
Zuraidah yang juga ahli Parlimen Ampang berkata beliau mengajukan
soalan kepada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai sewaktu
sesi perbahasan Dewan Rakyat, namun tidak mendapat jawapan.
“Saya amat kecewa dengan menteri, saya tanya soalan asas apakah
prosedur yang perlu untuk mendapatkan helikopter. Soalan asas itu pun
tidak dijawab menteri.
“Saya tanya bagaimana Jamal boleh dapat permohonan dan diluluskan
dengan segera. Malangnya, menteri kata tidak ada maklumat,” katanya.
Malah, Zuraida turut kecewa apabila hasratnya mendapatkan penjelasan
mengenai perkara itu dihalang timbalan speaker Dewan Rakyat.
“Speaker kecewakan saya kerana tidak beri peluang bertanya, speaker
halang saya untuk tanya isu asas. Saya hanya tanya prosedur untuk
menerbangkan helikopter komersil.
“Tetapi speaker halang dan cuba membantu menteri supaya tidak perlu
menjawab. Ini undang-undang yang tidak relevan sebab ia hanya soalan
asas, bukan soalan terperinci,” katanya.
Zuraida berkata beliau percaya ada prosedur dan tempoh masa tertentu
yang harus dipatuhi serta perlu mempunyai tujuan khusus untuk
menerbangkan helikopter.
“Adakah dia melalui prosedur betul yang membenarkan dia mendapat
kemudahan itu dalam tempoh 24 jam. Saya percaya pasti ada prosedur
tertentu.
“Melainkan ada perkara penting saya faham, tetapi kes ini hanya perjalanan yang tidak ada matlamat dan spesifikasi,” katanya.
Katanya, beliau sendiri pelik apabila Jamal memperoleh sumber
kekayaan luar biasa sewaktu menjalankan kempen menolak perhimpunan
Bersih.
“Jika dia terima wang dengan cara haram, hanya Allah saja yang tahu.
Dia (Jamal) bawa Vellfire yang dicat warna merah, dia mempunyai pengawal
peribadi dan hari ini dia membawa helikopter pula,” katanya.
FMT
No comments:
Post a Comment