Thursday, December 15, 2016

Anwar masih ada dua pilihan

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
SHAH ALAM - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai dua pilihan  lain berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak semakan berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadapnya.

Satu, mengemukakan permohonan pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V atau kedua, permohonan untuk membatalkan kehilangan kelayakan berdasarkan Perkara 48 (3) Perlembagaan Persekutuan sekiranya permohonan pengampunan itu ditolak.

Pengamal undang-undang, Syahredzan Johan berkata, walaupun sebelum ini keluarga Anwar memfailkan permohonan itu dan ia ditolak oleh Lembaga Pengampunan Diraja, tiada mana-mana peruntukan undang-undang mengatakan permohonan itu tidak boleh dibuat berulang kali.

“Anwar boleh mencubanya di hadapan Yang di-Pertuan Agong yang baharu, dengan memfailkan permohonan itu sendiri,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, apabila permohonan itu dikemukakan, ia tidak bermaksud keputusan dan sabitan yang dibuat oleh mahkamah sebelum ini diketepikan.

“Dengan permohonan ini, sabitan terhadapnya masih ada cuma tidak perlu menjalani hukuman penjara lima tahun sebagaimana diputuskan oleh mahkamah,” katanya.
Syahredzan berkata, opsyen kedua juga boleh digunakan bagi membolehkan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bertanding pada PRU14.

 “Apa yang boleh dilakukan, selesai menjalani hukuman penjara, beliau boleh mengemukakan permohonan membatalkan kelayakan kerana individu yang disabitkan kesalahan akan hilang kelayakan bertanding selama tempoh lima tahun.
“Sekiranya gagal, beliau perlu menunggu PRU 15 untuk bertanding,” katanya.

Pada 16 Mac tahun lalu, Yang di-Pertuan Agong sebelum ini pada mesyuarat Lembaga Pengampunan telah menolak petisyen pengampunan diraja yang difailkan oleh keluarga Anwar.
Oleh yang demikian, Anwar hilang kelayakan sebagai ahli parlimen berdasarkan Perkara 48(4)(c) Perlembagaan Persekutuan.

No comments:

Post a Comment