Wednesday, December 7, 2016

Berpisah 13 tahun. Kakak mak nyah, adik pun mak nyah juga


Malaysiakini 6/12/16

Menjadi seorang mak nyah proses semula jadi atau faktor persekitaran?
Aktivis hak transgender Nisha Ayub ada kisah tersendiri.

Dia menceritakan semula kisahnya membesar berasingan dengan adik lelakinya Saraliantra.

Bagaimanapun setelah berjumpa semula selepas 13 tahun, dia tidak menyangka adiknya juga seorang mak nyah sepertinya.

Nisha yang mempunyai darah campuran Melayu-India berkata, selepas bapa meninggal dunia, ibu tidak mampu dan menyerahkan adiknya kepada saudara sebelah bapa untuk dibesarkan.
Dia berusia enam tahun dan adiknya tiga tahun ketika itu.

“Kami terpisah di usia muda. Saya hanya ada peluang bertemu saudara kandung hanya selepas 13 tahun, ketika saya berumur 19,” katanya.

Pada mulanya mereka gementar untuk bertemu.

“Saya fikir bagaimana penerimaan adik 'lelaki' saya yang sebenarnya kakak.

“Pada masa yang sama adik saya pun fikir perkara yang sama,” katanya.

Bagaimanapun, kata Nisha lagi, segalanya berubah selepas mereka bertemu.

“Dua-dua kami terkejut apabila tahu kami berdua sebenarnya sama-sama mak nyah,” katanya.
Justeru, bagi aktivis 37 tahun itu, dia senang sekali apabila kedua-dua mereka memahami keadaan masing-masing.

“Kami mungkin berbeza dalam banyak perkara tetapi kami bersyukur kami ada sokongan satu sama lain,” katanya.

Nisha menegaskan, menjadi mak nyah bukan sekadar pilihan atau cara hidup tetapi juga identiti gender.

Nisha pernah menerima anugerah International Women of Courage Award daripada Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry atas kegiatannya membela golongan transgender.

No comments:

Post a Comment