Wednesday, December 7, 2016

Kes saman guru banyak berlaku di bandar besar

Kes saman guru banyak berlaku di bandar besar
Muka depan Sinar Harian hari ini.
KUALA LUMPUR - Kes saman guru oleh ibu bapa kebanyakan berlaku di kawasan bandar besar, kata Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Kamarozaman Abd Razak.

Namun, kes sedemikian sangat terpencil, dengan NUTP merekodkan kurang daripada satu peratus dari sejumlah 200,000 anggotanya terbabit dalam kes sedemikian.

Jumlah keseluruhan guru dalam negara adalah kira-kira 430,000 orang.
"Sebagai contoh daerah saya, Pahang, ada kira-kira 3,000 guru, tidak ada kes yang dibawa ke mahkamah. Kes yang berlaku kebanyakan melibatkan kawasan-kawasan bandar besar yang maju.
"Di mana ibu bapa dilihat over-protective dan terlalu mendengar nasihat peguam," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.  

Semalam, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kementerian memberi jaminan akan melindungi guru sekiranya mereka disaman ibu bapa.
Beliau bagaimanapun berharap tindakan undang-undang menjadi langkah terakhir ibu bapa, kerana sebarang masalah boleh diselesaikan melalui rundingan dalaman.

Kamarozaman menjelaskan bahawa pelantikan guru dibuat mengikut Prosedur Operasi Standard dan kelayakan yang telah ditetapkan.
"Walaupun berhadapan dengan pelbagai kerenah murid, mereka sebagai seorang yang profesional akan terus mendidik.
"Cuma kadang-kadang perbuatan mereka ini disalah tafsir sebagai mendera oleh sebilangan kecil ibu bapa," katanya.

Kamarozaman menarik perhatian bahawa secara umumnya, hubungan antara ibu bapa dan guru tidak ada masalah, tambahan selepas pengenalan program Sarana Ibu Bapa dan Sarana sekolah - satu program dirancang kementerian untuk melibatkan ibu bapa dalam program anjuran pihak sekolah.  

"Melalui program ini ibu bapa boleh masuk sekolah, boleh terlibat sama dengan program yang sekolah buat bersama anak-anak mereka dan sekiranya ada pertelingkahan, ibu bapa juga akan terlibat sama dalam mencari penyelesaian," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik pengumuman Mahdzir itu dan menyifatkannya satu perkembangan positif bagi guru-guru dan memberi semangat untuk mereka berkhidmat tanpa tekanan luar dari tugasan.
"Ini satu pembelaan... tahniah kepada menteri sebab ini satu langkah susulan yang baik sebab kita dah bincang lama mengenai isu ini dengan menteri," katanya.

Beliau berkata sekiranya ada guru-guru yang disaman, mereka boleh merujuk kepada mana-mana persatuan guru yang menaungi mereka, penasihat undang-undang Kementerian Pendidikan atau pejabat pendidikan daerah masing-masing. – Bernama

No comments:

Post a Comment