FMT |
December 6, 2016
Presiden NUTP berkata langkah Kementerian Pendidikan beri jaminan melindungi guru jika disaman ibu bapa adalah tepat.
PETALING
JAYA : Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP)
berkata tindakan kerajaan memberi jaminan kepada guru jika disaman ibu
bapa akan membantu golongan pendidik yang kebanyakannya tidak tahu
bagaimana melindungi diri jika berdepan situasi itu.
Presidennya, Kamarozaman Abd Razak berkata selama ini apa yang guru
lakukan jika disaman ibu bapa murid ialah merujuk masalah itu kepada
NUTP.
“Ada guru tidak tahu bagaimana mahu melindungi diri mereka dan tiada
pengetahuan saluran mana perlu diambil untuk mengadu,” katanya ketika
dihubungi FMT hari ini.
Semalam, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata
kementerian memberi jaminan akan melindungi guru sekiranya mereka
disaman.
Bagaimanapun, Mahdzir berharap tindakan undang-undang-undang menjadi
langkah terakhir ibu bapa kerana masalah boleh diselesaikan melalui
rundingan dalaman.
Kamarozaman berkata kebanyakan kes melibatkan guru disaman ibu bapa berlaku di kawasan bandar besar, namun ia sangat terpencil.
Katanya, NUTP hanya merekodkan kurang 1% kes sedemikian membabitkan
ahlinya yang kini mencecah 200,000 daripada jumlah keseluruhan guru
kira-kira 430,000 di seluruh negara.
“Sebagai contoh di daerah saya, Pahang ada kira-kira 3,000 guru,
tidak ada kes yang dibawa ke mahkamah. Kes yang berlaku kebanyakan
melibatkan kawasan bandar besar.
“Ibu bapa di kawasan bandar dilihat terlalu melindungi dan mendengar
nasihat peguam yang kadang-kadang lebih bersifat perniagaan untuk
mendapatkan keuntungan, bukannya membantu perkembangan sekolah dan
murid,” dakwanya dipetik daripada Bernama.
No comments:
Post a Comment