Monday, December 12, 2016

Najib jawab isu 'Zahid jadi PM'

Najib jawab isu 'Zahid jadi PM'
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa pembangkang cuba merosakkan hubungan rapat beliau dengan Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi cerita khabar angin.

Najib dalam satu kenyataan menegaskan, pembangkang tersalah langkah sekiranya menggunakan pendekatan itu kerana ujarnya ahli Umno terkenal dengan kesetiaannya.

"Mungkin pembangkang tersalah anggap perwatakan Timbalan Perdana Menteri dengan beberapa bekas pemimpin parti Umno yang didorong oleh kepentingan peribadi, bukan kepentingan parti atau nasional.

"Mereka telah mencuba pelbagai cara dalam bidang kuasa mereka untuk memecahbelahkan kita. Tetapi mereka tidak kenal Umno dan kesetiaan anggotanya – mereka yang berdiri di dalam senang mahupun susah bersama parti dan kepimpinan parti yang dipilih secara demokrasi," katanya menerusi satu kenyataan.


Najib berkata demikian dipercayai mengulas mengenai penyebaran surat kabinet bayangan yang kononya diedarkan oleh Zahid.
Barisan kabinet bayangan yang mula viral beberapa hari lalu itu menunjukkan nama Zahid sebagai Perdana Menteri diikuti Timbalan Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sebagai Menteri Dalam Negeri.

Senarai itu juga memperlihatkan beberapa nama lain lagi. Sementara nama yang tidak disenaraikan termasuklah Najib, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein,
Mejar Jeneral (B) Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim. Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan beberapa nama lagi.
Mengulas lanjut, Najib berkata, pembangkang kini begitu terdesak dan dalam keadaan kucar kacir sehingga mereka terpaksa bersekutu dengan orang yang memenjara pemimpin mereka sendiri.

"Saya gesa semua ahli parti Umno untuk sentiasa berwaspada terhadap taktik kotor yang digunakan oleh pihak lawan. Mereka mencemburui solidariti kukuh dalam Umno dan Barisan Nasional," katanya lagi.

1 comment:

  1. ph tkkn buat kerja bodoh tu

    klu parti u turn mungkin

    pi tnya moktar senik..dr zuhdi atau hasan ali

    ReplyDelete