Sinar Harian
7 Disember 2016
KOTA BHARU – Seorang pekerja kontrak dihukum penjara tiga tahun
setengah oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini kerana cuba membunuh
isterinya dengan memaksa wanita itu meminum racun.
Hakim, Nazri Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Abdullah
Zaini, 36, selepas tertuduh mengaku salah atas tuduhan itu.
Tertuduh didakwa memaksa Syarifah Mohd Yusoff, 35, meminum racun hingga
mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan di sebuah rumah di Kampung
Pak Roman, Machang, pada jam 6 petang, 2 Jun lalu.
Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit bersalah.
Nazri sebelum menjatuhkan hukuman itu sempat memberi nasihat kepada tertuduh supaya mengambil iktibar di atas kejadian itu.
“Saya harap hukuman pemenjaraan yang dikenakan ini akan dapat memberi
keinsafan kepada kamu dan selepas mengambil kira kepentingan awam dan
isteri kamu, maka kamu dikenakan hukuman ini,” katanya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Norazlinawati Mohd
Arshad, manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Nurie Abd Rahman.
Terdahulu, peguam Ahmad Nurie memohon anak guamnya dikenakan hukuman
minimum yang berkuat kuasa dari tarikh tangkap iaitu 5 Jun lalu.
“Tertuduh menyesali kesilapannya yang tidak sepatutnya dilakukan
sebagai seorang suami. Selain itu, tertuduh telah berada dalam tahanan
polis selama enam bulan,” katanya.
Norazlinawati, bagaimanapun mencadangkan hukuman yang sesuai sebagai pengajaran kepada diri tertuduh dan masyarakat awam.
“Sebagai suami, tertuduh sepatutnya membela isterinya, sebaliknya
tertuduh sendiri yang menyakiti wanita itu. Kesalahannya pula sangat
serius dengan memberi racun yang boleh menyebabkan kematian mangsa,”
katanya.
Dalam kejadian itu, anak tertuduh memberitahu neneknya (ibu mangsa)
bahawa pasangan itu bergaduh serta tertuduh menyepak mangsa. Ketika ibu
mangsa sampai di rumah tersebut, dia mendapati mangsa berada di dalam
bilik dengan keadaan separuh sedar bersama tertuduh.
Mangsa memberitahu bahawa tertuduh memaksa dia meminum racun rumpai dan
kemudian dibawa anak saudaranya ke Hospital Machang untuk mendapatkan
rawatan lanjut.
Hasil siasatan polis, tertuduh menunjukkan sehelai baju dan seluar
panjang serta sebotol plastik berwarna putih yang mengandungi cecair
berwarna kehijauan, racun rumpai.
No comments:
Post a Comment