Friday, December 9, 2016

Pelantikan senator tidak lagi ikut Perlembagaan, kata pakar

FMT | December 9, 2016
Dewan Negara kini dilihat sebagai untuk kroni kerajaan atau parti dengan pelantikan 6 pemimpin Umno sebagai senator, kata Aziz Bari.
Aziz-Bari
PETALING JAYA: Kriteria pelantikan ke dalam Dewan Negara seolah-olah menyimpang daripada objektif digariskan Perlembagaan Persekutuan, kata pakar undang-undang dan menegaskan ia kini mejadi tempat untuk kroni kerajaan atau parti.

Dr Abdul Aziz Bari berkata, Dewan Negara, sebagai komponen ke-2 Parlimen, adalah untuk ahli masyarakat yang tidak boleh dipilih ke Dewan Rakyat.
Dan ini katanya, termasuk wakil kumpulan minoriti seperti Orang Asli, pesara atau kumpulan profesional.

Tetapi Aziz menegaskan Dewan Negara kini nampaknya menjadikan ia tempat untuk kroni kerajaan atau parti.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pelantikan 6 pemimpin Umno termasuk Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun, kepada Dewan Negara.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Teresa Kok berkata adalah tidak logik dan tidak boleh diterima bagi kerajaan melantik Azwan selepas ucapan beliau pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini didakwa bersifat “perkauman”.
Pada 30 Nov, semasa perhimpunan itu, Azwan memberi amaran kepada kaum Cina tentang kemungkinan tindak balas yang diterima sekiranya mereka terus menolak Barisan Nasional.
Kok yang juga ahli Parlimen Seputeh turut menggesa kerajaan mendedahkan kriteria bagi pelantikan senator.

Aziz berkata anggota Dewan Negara sepatutnya menyemak semula Rang Undang-Undang yang diluluskan Dewan Rakyat dan bersuara untuk kaum minoriti.
“Tetapi senator juga dilantik menjadi ahli Kabinet. Ia tidak lagi mewakili idea kewujudannya sebagai komponen ke-2,” katanya.
Aziz berkata, tidak banyak boleh dilakukan melainkan jika terdapat perubahan dalam kerajaan persekutuan dan pentadbiran baru untuk menggembalikan semangat Perlembagaan.

Bekas profesor undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa itu juga tertanya-tanya siapa yang diwakili Azwan, melihat kepada kriteria ditetapkan dalam Perlembagaan untuk dilantik ke Dewan Negara.
Prof Datuk Shad Faruqi daripada Fakulti Undang-Undang, UiTM dan kolumnis akhbar, berkata senator mewakili kawasan geografi dan kepentingan khas berbanding pengundi.

Di bawah Perkara 45, Dewan Negara terdiri daripada 44 yang dilantik dan 26 senator dilantik tidak secara langsung.
Dua puluh enam itu mewakili 13 negeri di dalam Persekutuan manakala 44 dilantik Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, di bawah Perkara 45 (2), raja melantik individu yang “memberikan perkhidmatan awam cemerlang atau mencapai keunggulan dalam profesion, perdagangan, industri, pertanian, aktiviti kebudayaan atau perkhidmatan sosial atau yang mewakili ras minoriti atau berkebolehan mewakili kepentingan Orang Asli.”

No comments:

Post a Comment