Tuesday, December 13, 2016

Penganalisis: Boleh menang di Kedah, belum tentu di Sabah

FMT | December 13, 2016
PPBM main peranan penting menarik sokongan pengundi Umno, tetapi di BN diramal menang di sebahagian besar kerusi baharu
awang-pawi-1
PETALING JAYA: Tidak mustahil Kedah, Terengganu dan Johor akan jatuh ke tangan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata penganalisis politik Awang Azman Awang Pawi.

Ini kerana pembangkang dilihat mula menggunakan pengaruh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di kawasan pengundi Umno.
“Di Terengganu lebih bergantung kepada peranan bekas menteri besar, Datuk Seri Ahmad Said. Itupun kalau dia (Ahmad Said) mengadakan pakatan dengan PPBM.

“Manakala di Kedah, akan gunakan pengaruh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Tumpuan juga dilihat melalui kawasan yang Umno menang tipis.

“Di Johor, parti Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh menang di kawasan yang ditandingi, tetapi bukan kemenangan yang mudah. Perlawanan yang getir, majoriti bawah 3,000 undi, bergantung kepada real politik ketika PRU.”
Beliau mengulas keyakinan Datuk Seri Shafie Apdal yang meramalkan Kedah, Terengganu dan Johor akan jatuh ke tangan pembangkang kerana BN kehilangan beberapa pemimpin berpengaruh.

“Sabah pula kita akan rampas. Ini kerana yang menentukan kerajaan di Sabah bukan Najib, tetapi rakyat di Sabah,” kata presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu dalam sebuah program di Kampung Kukut, Beaufort, Sabtu lalu.
Awang Azman bagaimanapun belum menyakini peluang pembangkang di Sabah.
Katanya, pertambahan 13 kerusi baharu di Sabah, sekiranya diluluskan, akan memberi kelebihan kepada BN.

“Ini berdasarkan kerusi baru sebahagian besar akan dimenangi BN,” katanya.
Sementara itu, pemimpin DAP Dr Abdul Aziz Bari berkata kemenangan di 4 negeri itu memungkinkan pembentukan kerajaan persekutuan baharu.
“Umpamanya ada beberapa orang pengkaji mengatakan pusingan 2% pun sudah cukup untuk menang Putrajaya. Kalau menang (4) negeri itu, Putrajaya jatuh.
“Jadi yang penting adalah sistem itu tidak dicemari dan dicabul oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

No comments:

Post a Comment