18/12/16
Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata beliau
tidak akan menerima nasihat daripada pemimpin yang gagal berhubung
cadangan agar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ditadbir secara
proksi.
"Baru-baru ini, terdapat satu kenyataan yang dibuat oleh Tan Sri,
menggesa agar bola sepak tidak sepatutnya diuruskan melalui proksi dan
menyatakan saya perlu menjelaskan pendirian dan membuat keputusan sama
ada mahu menerima tugasan tersebut (selaku Presiden FAM) atau tidak.
"Bagi saya, perkara yang terbaik adalah membiarkan ahli-ahli gabungan
yang membuat keputusan mengenai apa yang terbaik untuk bola sepak
Malaysia dan juga kepada penyokong.
"Pertama sekali, saya tidak perlu untuk menerima nasihat daripada
seorang pemimpin yang gagal untuk memimpin," katanya dalam cacatan di
Facebook.
Kenyataan Tunku Ismail adalah jelas merujuk bekas Presiden Persatuan
Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang dilapor
mempertikaikan pendirian Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA)
supaya FAM ditadbir secara proksi.
Annuar berkata, cadangan MUSA bagi melantik Tan Sri Aseh Che Mat
sebagai presiden badan induk itu untuk membolehkan Tunku Ismail terbabit
dalam FAM adalah sama sekali tidak boleh diterima kerana melanggar
statut badan induk berkenaan.
"Apakah yang cuba dilakukan? Apakah FAM mahu ditadbir secara proksi?
Di mana letak duduk statut FAM sehingga MUSA boleh mencadangkan struktur
jawatan yang tidak wujud dalam statut FAM," kata Annuar seperti dilapor Berita Harian.
MUSA menerusi Timbalan Presidennya, Datuk Yusoff Mahadi dalam satu
laporan akhbar berkata pihaknya bersedia untuk memberi sokongan kepada
Aseh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM asalkan ia dapat
menarik pembabitan Tunku Ismail dalam badan induk bola sepak negara itu.
MUSA berpendapat Tunku Ismail lebih selesa berada dalam FAM sebagai
penaung atau penasihat diraja berbanding menjadi presiden, tetapi ahli
gabungan perlu memilih Aseh bagi menerajui FAM.
Gagal terajui Kelantan
Mengulas lanjut, Tunku Ismail turut merujuk kegagalan pasukan Kelantan dalam berdepan masalah kewangan ketika diterajui Annuar.
"Setiap kali sebuah kelab bola sepak atau syarikat menghadapi masalah
kewangan, ia dipanggil kelemahan pengurusan. Ia juga secara tidak
langsung mencerminkan sikap pemimpin tersebut.
"Apabila anda berada dalam kedudukan di mana anda mempunyai banyak
penaja, anda sepatutnya menggunakan peluang tersebut untuk melangsaikan
semua hutang anda.
"Sebaliknya, anda membuat keputusan dengan mengambil khidmat
jurulatih import baru serta tiga pemain import tambahan. Dengan
keputusan ini, orang-orang yang menjadi mangsa adalah pemain-pemain
tempatan kerana mereka tidak menerima gaji mereka," kata Tunku Ismail.
Menurut Tunku Ismail, keutamaan sepatutnya diberikan kepada pemain tempatan dan bukannya pemain import.
"Ia jelas menunjukkan bahawa anda terlebih membayar pemain import dan hasilnya, anda tidak mampu untuk mengekalkan kelab.
"Perkara itu tidak berakhir di sini, kita dapat lihat prestasi
Kelantan mulai merosot dan cukup jelas bahawa kapal tersebut mulai
karam.
"Lebih memburukkan lagi keadaan sebagai nakhoda kapal, anda memilih
untuk meninggalkan kapal tersebut, dan membiarkan anak-anak kapal anda
menderita. Dan dengan situasi tersebut, anda masih ada keinginan untuk
menjadi Presiden FAM," kata Tunku Ismail.
No comments:
Post a Comment