Monday, January 9, 2017

Rundingan berjaya, Kelantan ikat tiga pemain import

Rundingan berjaya, Kelantan ikat tiga pemain import
Djeugoue (kanan) bakal memperkuatkan benteng pertahanan Kelantan pada saingan Liga-M musim ini.⁠⁠⁠⁠
KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengesahkan rundingan membawa masuk tiga pemain import bagi memperkuatkan cabaran The Red Warriors bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2017 berjaya diselesaikan.
Perkara tersebut diumumkan Penaja Utama The Red Warriors, Tan Sri Annuar Musa, menerusi laman sosialnya hari ini, dengan memberitahu rundingan melibatkan terma kontrak tiga pemain itu mencapai persetujuan dengan kelab asal mereka.

Menurutnya, bekas pemain skuad Piala Dunia Cameroon, Cedric Djeugoue, Okikiola Afolabi dari Nigeria selain bekas penyerang import Kelantan musim 2012 dan 2014, Mohammed Ghaddar (Lubnan) akan menyertai skuad pantai timur itu.

“Saya dan redOne Network Sdn Bhd (penaja utama) bersedia membawa mereka dengan tiga syarat, iaitu pertama dipersetujui ketua jurulatih (Zahasmi Ismail) dan wajib lulus ujian kecergasan yang ketat di bawah kelolaan jurulatih kecergasan.
“Selain itu, ketiga-tiga pemain berkenaan juga diwajibkan lulus ujian kesihatan yang ketat (sebelum menyertai Kelantan),” katanya ringkas menerusi entri berkenaan.

Djeugoue, 24, selaku pemain pertahanan beraksi bersama Coton Sport FC dalam Liga Elit Cameroon, Afolabi, kali terakhir menyarung jersi kelab Talleres de Cordoba dalam Liga Primera Argentina, manakala Mohammed Ghaddar pula pernah menyarung jersi Al-Faisaly SC di Liga Jordan, musim lalu.

No comments:

Post a Comment