Saturday, January 14, 2017

Waspada jerat ‘si mulut manis’

Sinar Harian
Waspada jerat ‘si mulut manis’
Muka depan Sinar Harian hari ini
SHAH ALAM – Kes penipuan cinta siber atau dikenali sebagai love scam di negara ini menunjukkan peningkatan melibatkan kerugian dan peningkatan kes berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pada 2014, jumlah bagi kes love scam adalah sebanyak 1,026 manakala pada 2015 pula, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 815 kes.
“Bagi 2016, sebanyak 2,497 kes dicatatkan dengan jumlah kerugian sebanyak RM98,980,067.51.

“Pihak kami juga telah melakukan tangkapan sebanyak 878 pada tahun lalu dan kebanyakan mangsa-mangsa yang sering diperdaya mangsa terdiri daripada lingkungan umur 31 hingga 50 tahun,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menyentuh lanjut mengenai kes tersebut, Acryl memaklumkan kebanyakan kes bermula melalui media sosial di mana suspek menyamar sebagai jejaka kacak mahupun wanita cantik bagi memperdayakan mangsa.

Acryl berkata, setelah berkenalan untuk satu tempoh jangka masa (antara sebulan hingga tiga bulan), suspek akan menggunakan pelbagai modus operandi untuk memperdayakan mangsa bagi mempercayai cerita yang direka olehnya sendiri.

“Setelah mendapat kepercayaan mangsa, suspek akan mula mendorong mangsa untuk menghantar atau menyerahkan harta mahu pun wang kepada mereka,”katanya.
Dalam pada itu, Acryl berkata, suspek kebiasaannya akan masuk ke negara ini dengan menggunakan pas pelajar atau pas lawatan sosial yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen.

Mengikut statistik tangkapan, beliau menjelaskan bahawa kebanyakan suspek yang ditahan di bawah kes berkenaan terdiri daripada warganegara Afrika, di mana 80 peratus adalah bangsa Nigeria yang datang ke negara ini.
“Kebanyakan golongan ini bermulut manis dan memberi layanan istimewa kepada mangsa bagi menjerat mereka dalam kegiatan love scam ini.
“Malah kebanyakan mangsa yang diperdaya terdiri daripada golongan profesional,” katanya.

Bagi fokus 2017 ini, Acryl memaklumkan pihaknya akan memainkan peranan agresif bagi memberi kesedaran kepada masyarakat umum agar tidak menjadi mangsa kepada sindiket ini.

Beliau berkata, JSJK akan bekerjasama rapat dengan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) bagi menyebarkan peringatan kepada orang ramai berhubung perkara ini.

“Selain itu, kita juga akan menggunakan kemudahan aplikasi WhatsApp bagi menyampaikan pesanan-pesanan ringkas kepada orang awam dan sekiranya mereka inginkan penjelasan lanjut, bolehlah layari alam web rasmi kami,” katanya.

No comments:

Post a Comment