Saturday, February 25, 2017

Apa yang kita tahu tentang Agen Saraf VX?

Kim Jong Nam
KETUA Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Jabatan Kimia mengenal pasti cecair yang digunakan sebagai senjata untuk membunuh rakyat Korea Utara, Kim Jong-nam.

Cecair itu yang juga dipanggil Agen Saraf VX atau 'Ethyl S-2-Diisopropylaminoethyl Methylphosphonothiolate' merupakan bahan neuro-toksin serta dikategorikan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai senjata pemusnah besar-besaran.
Pembunuhan yang berlaku ke atas Jong-nam dikatakan kes yang kedua melibatkan penggunaan Agen Saraf VX di seluruh dunia.
Mungkin ramai yang tidak begitu tahu tentang cecair kimia merbahaya ini.

Apa sebenarnya VX?
VX tidak wujud secara semula jadi tetapi merupakan hasil buatan manusia yang digunakan khusus sebagai senjata kimia.
Ia dicipta oleh ahli kimia, Ranajit Ghosh pada 1950-an sebagai racun perosak dan salah satu daripada produk yang menggunakan bahan ini telah pun dipasarkan di bawah jenama Amiton sebelum ia dipanggil semula kerana terlalu toksik.

Sebatian itu kemudiannya dibangunkan semula oleh Angkatan Tentera British pada tahun 1952 di Porton Down, Wiltshire.
Di sana, VX dilahirkan dan dikenali dengan nama Agen Saraf VX.
Nama penuh bagi VX adalah 'Ethyl S-2-Diisopropylaminoethyl Methylphosphonothiolate' dan sifatnya berminyak.

Di mana VX digunakan sebelum ini?
Satu-satunya penggunaan lain direkodkan adalah dalam kes pembunuhan kultus Jepun, Aum Shinrikyo pada Disember 1994.

Pembunuhan itu dilakukan oleh kumpulan yang sama bertanggungjawab ke atas serangan gas kereta bawah tanah Sarin, Tokyo yang mengorbankan 12 nyawa, mencederakan 50 individu dan memberi kesan ke atas ribuan mangsa yang lain.
VX juga dipercayai digunakan dalam peperangan, termasuk dalam Perang Iran-Iraq pada 1980-an.

Mengapa VX begitu merbahaya?
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Amerika Syarikat menyatakan bahawa VX bertindak balas secara perlahan-lahan dan tidak berbau.
VX merupakan senjata kimia yang memberi kesan paling ketara apabila ia menyentuh kulit manusia.

Untuk membunuh seseorang, dos yang diperlukan hanyalah sebanyak 10mg.
Agen Saraf VX ini berfungsi untuk menghentikan seluruh kelenjar dan otot, sekaligus menyebabkan mangsa keletihan dan mengalami kegagalan dalam fungsi pernafasan.

Simptom keracunan VX termasuk sesak nafas dan sesak dada, yang boleh dikelirukan dengan serangan jantung.
Sekiranya seseorang itu terdedah dengan sebahagian besar dos VX, ia boleh menyebabkan seseorang mengalami sawan, tidak sedar, lumpuh dan kegagalan pernafasan yang boleh berakhir dengan kematian.

Bila VX membunuh mangsanya?
Kesan VX adalah berterusan dan menimbulkan ancaman jangka panjang.
Ia boleh bertahan berhari-hari lamanya (selepas VX bersentuh dan menyerap pada kulit) dan boleh bertahan dalam keadaan serta cuaca sejuk.
Kesan VX akan terurai perlahan-lahan dalam badan, yang membawa kepada kesan kumulatif jika mangsa berulang kali terdedah kepadanya.

Keracunan oleh VX bergantung kepada pendedahan, tetapi tanda-tanda akan muncul dalam beberapa saat selepas terdedah kepada VX dalam bentuk wap, atau dalam beberapa minit sehingga 18 jam sekiranya mangsa terdedah dengan VX dalam bentuk cecair.

Siapa yang mempunyai stok simpanan VX?
Selepas membangunkan VX, United Kingdom menghentikan penyelidikannya tentang peperangan kimia dan telah menukarkan teknologi VX dengan Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan maklumat mengenai senjata termonuklear pada tahun 1958.

AS dikatakan mempunyai simpanan VX besar-besaran di Newport Chemical Depot pada tahun 1961, sebelum bersetuju untuk memusnahkan simpanan stoknya untuk meratifikasi perjanjian PBB dalam Konvensyen Senjata Kimia Antarabangsa yang ditandatangani pada tahun 1993.
Malah sejak 1969, AS telah mula melupuskan simpanan VX dengan membakar,meneutralkan kimia dan menenggelamkan kapal dipenuhi bahan kimia itu di tengah lautan.

AS bagaimanapun masih memiliki baki 523 tan VX dan gas sarin kerana proses pemusnahan belum selesai.
Negara-negara lain yang dilaporkan memiliki simpanan VX termasuk Rusia dan Syria

No comments:

Post a Comment