Penganalisis politik Awang Azman mengingatkan BN akan kekalahan mereka di Sabah selepas Labuan dijadikan wilayah persekutuan.
PETALING
JAYA: Barisan Nasional akan tewas dalam pilihan raya umum akan datang
sekiranya Pulau Pinang, Pulau Langkawi, Pulau Tioman dan sebahagian
Melaka dijadikan sebahagian Wilayah Persekutuan, kata penganalisis
politik Awang Azman Awang Pawi.
Awang merujuk kepada keadaan yang berlaku di Sabah apabila Labuan dijadikan sebahagian Wilayah Persekutuan pada 1984.
“Masyarakat gempar apabila Labuan dijadikan Wilayah Persekutuan,” katanya kepada FMT ketika dihubungi.
Akibatnya, kerajaan BN yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Harris
Salleh pada ketika itu kalah mengejut dalam pilihan raya negeri 1985.
“Menukar sesuatu kawasan menjadi Wilayah Persekutuan bukan kerja
senang. Harris tewas pilihan raya walaupun popular dalam kalangan
rakyat.
Beliau mengulas hasrat Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku
Adnan Tengku Mansor menjadikan Pulau Pinang, Pulau Langkawi, Pulau
Tioman dan sebahagian Melaka sebahagian Wilayah Persekutuan.
Adnan melahirkan hasrat itu ketika ditemubual radio BFM pada 1 Februari lepas, bersempena Hari Wilayah Persekutuan.
Sementara itu, seorang saintis politik di Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM), Faisal Syam Hazis menepis idea itu sebagai angan-angan
sahaja.
“Ini salah satu daripada kebanyakan idea beliau yang tidak praktikal.
Kenyataan beliau sebelum ini mengenai pengharaman ‘kapcai’ (motosikal
berkuasa rendah) daripada memasuki KL juga memakan diri.”
Faisal berkata cadangan itu boleh dipertimbangkan sekiranya kerajaan pimpinan BN dalam kedudukan yang kukuh.
“Tetapi pada masa ini, kita mempunyai kerajaan persekutuan yang lemah
dan banyak isu lain di serata negara. Oleh itu lebih baik cadangan ini
tidak diteruskan.”
Sekarang ini terdapat 3 Wilayah Persekutuan – Kuala Lumpur, Putrajaya
dan Labuan. Kuala Lumpur dan Putrajaya bekas wilayah Selangor manakala
Labuan bekas wilayah Sabah.
Kuala Lumpur, dahulunya ibu negeri Selangor, dijadikan Wilayah
Persekutuan pada 1974, diikuti Labuan pada 1984 dan kemudian mengambil
peranan pusat kewangan luar pesisir, manakala Putrajaya dijadikan pada
2001 dan mengambil peranan sebagai pusat pentadbiran negara
No comments:
Post a Comment