Monday, March 20, 2017

Felda catat kerugian tidak nyata RM1.2b kerana FGV

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan atau Felda dan anak syarikatnya mencatatkan kerugian tidak nyata sebanyak RM1.21 bilion hasil pegangan sahamnya dalam Felda Global Ventures Bhd.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim, Felda dan anak syarikatnya memegang kepentingan 33.8 peratus dalam FGV.
"Walau bagaimanapun, kerugian tidak nyata tidak direkodkan dalam penyata kewangan Felda, ini adalah kerana FGV dikategorikan sebagai sebuah syarikat bersekutu milik Felda.

"Oleh itu, pegangan saham Felda dalam FGV direkodkan sebagai pelaburan dalam syarikat bersekutu di mana FGV direkodkan pada kos dengan nilai RM3.371 bilion dalam penyata kewangan Felda," katanya.
Beliau berkata kaedah perakaunan ini adalah mematuhi piawaian laporan kewangan negara.

Razali berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul yang ingin tahu berapa kerugian Felda secara langsung akibat jatuhnya nilai saham dalam FGV dan bagaimana Felda akan menyusun dan menguruskan kerugian itu.

Timbalan Menteri berkata Felda menyokong penuh pelan perniagaan FGV untuk menstabilkan harga saham dan aliran tunai syarikat itu.
"Seperti pegangan saham lain yang dimiliki oleh Felda, Felda tiada hak untuk mencampuri urus tadbir syarikat.

"Ini memandangkan syarikat ini merupakan syarikat senaraian awam yang tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan oleh Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti," katanya.
Malaysiakini 20/3/17

No comments:

Post a Comment