Tan Sri Annuar Musa hari ini menjelaskan beberapa pertikaian dalam
Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyebabkan beliau digantung daripada
tugasnya sebagai pengerusi badan itu.
Kata anggota parlimen Ketereh itu, faktor itu - bersama pendiriannya
mengenai penerimaan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) menjadi punca
beliau direhatkan.
Menjelaskan laporan akhbar berbahasa Cina, Sinchew Daily, yang
melaporkan berita Annuar, ketua penerangan Umno itu menyatakan, beliau
memang ada menceritakan mengenai pertikaian beliau dengan ahli Majlis
MARA sebelum ini.
Katanya, insiden itu berlaku sebelum ahli Majlis MARA bermesyuarat
dan mengambil keputusan menggantung jawatannya atas sebab mahu memberi
ruang kepada siasatan dalaman berhubung isu tajaan kepada pasukan bola
sepak Kelantan.
Antara yang dipertikaikan, kata Annuar, ialah isu UEC.
“Ada pertikaian tentang tajaan, ada pertikaian tentang UEC, tapi saya direhatkan bagi penyiasatan hal berkaitan dengan bola sepak,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.
Sinchew Daily sebelum ini melaporkan Annuar digantung sebagai pengerusi MARA kerana menyokong UEC.
Namun hari ini Annuar berkata, akhbar itu telah tersalah tafsir kenyataan yang dibuatnya.
“Kapsyen (pada laporan Sinchew Daily) itu seolah-olah, sebab utama saya digantung kononnya kerana pendirian saya tentang UEC, tapi itu bukan perkara sebenar yang saya cakap,” katanya.
Terima pendapat berbeza
Sementara itu Annuar hari ini dengan tegas mengulangi pendiriannya
menyokong UEC kerana berpegang kepada perlembagaan yang menjamin hak
seluruh rakyat termasuk bangsa Cina.
“Dalam soal UEC, pendirian saya jelas. Saya berpegang dengan
perlembagaan, saya juga percaya semua rakyat dalam negara ini - apa lagi
kaum Cina - adalah rakyat yang dijamin haknya oleh perlembagaan.
“Saya tidak nampak mengiktiraf UEC ini macam rosak satu Malaysia,
malah kita rugi kalau kita membiar pelajar-pelajar kita pergi ke tempat
lain,” katanya.
Annuar turut kesal dengan sikap beberapa pihak yang dilihat emosi dan
sensitif apabila "baru" sahaja mendengar mengenai UEC, malah katanya,
beliau turut menerima surat bantahan kerana menyokong perkara itu.
“Kita rakyat Malaysia tak boleh begitu. Kalau pendirian saya secara peribadi tidak melambangkan pendirian Umno buat masa ini.
"Tetapi Umno mesti bersedia menerima kepelbagaian pendapat sebab bagi
saya negara ini mesti dipimpin oleh pemimpin yang menghormati semua
kaum.
“Dalam negara ini tiada tempat berfikir untuk satu kaum. Itu asas
kita mencapai kemerdekaan. Saya bayangkan satu hari rakyat Malaysia
fasih berbahasa Melayu, Inggeris, Tamil dan Mandarin,” katanya.
UEC adalah sijil peperiksaan yang dikendalikan badan persendirian
menerusi Gabungan Kesatuan Pengelola Sekolah Cina Malaysia, Gabungan
Kesatuan Guru Sekolah Cina dan Kesatuan Alumni Cina.
Kementerian pengajian tinggi sebelum ini memaklumkan pengiktirafan
sijil itu hanya terpakai sebagai syarat kemasukan ke universiti swasta
kerana kurikulumnya tidak memenuhi keperluan Dasar Pendidikan
Kebangsaan.
Dalam temu bual itu Annuar menegaskan, sekolah aliran Cina bukannya
menyalahi perlembagaan tetapi ia kekangan utama Putrajaya kepada sijil
itu ialah silibus UEC untuk Melayu dan subjek Sejarah.
Malaysiakini 15/3/17
No comments:
Post a Comment