Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Tanggal 23 Februari lepas, ramai penjawat awam menarik
nafas lega. Manakan tidak, akaun bank kembali terisi dengan wang gaji
selepas sela 35 hari.
Biasanya gaji penjawat awam dibayar pada 25 haribulan setiap bulan.
Tetapi dalam situasi-situasi tertentu seperti musim perayaan, pembayaran
gaji diawalkan.
Gaji Januari 2017 dibayar awal pada 19 haribulan, kira-kira seminggu
lebih awal daripada tempoh biasa sempena sambutan Tahun Baru Cina dan
tidak lama selepas itu, Thaipusam.
Ini menjadikan jumlah kiraan hari antara gaji ke gaji menjadi 35 hari.
Tempoh ini adalah lima hari lebih panjang daripada tempoh sela antara
gaji biasa. Jadi memang wajar jika ada yang terasa sedikit ‘sesak’
dompetnya sepanjang tempoh ini.
Sebenarnya, terlalu awal untuk penjawat awam menarik nafas lega.
Sepanjang tahun ini masih ada beberapa tempoh yang memerlukan pengamatan
teliti mengurus perbelanjaan bulanan.
Untuk tahun 2017 pembayaran gaji yang diawalkan berlaku sebanyak tiga
kali iaitu pada Januari sempena Tahun Baru Cina, bulan Jun sempena
sambutan Hari Raya Aidilfitri dan pada bulan Oktober sempena sambutan
Hari Deepavali.
Pembayaran gaji untuk bulan Jun dibuat 15 Jun iaitu 10 hari lebih awal daripada waktu pembayaran biasa.
Gaji bulan Oktober pula dibayar pada 11 haribulan iaitu 14 hari lebih awal daripada biasa.
Bayaran gaji awal daripada tarikh 25 haribulan juga berlaku pada
bulan-bulan lain seperti Februari, Mac, Ogos, November dan Disember
tetapi jumlah harinya tidak terlalu ketara hanya antara satu ke empat
hari sahaja.
Ia berlaku kerana pembayaran gaji dilakukan antara hari Isnin hingga
Khamis dan jika tarikh 25 haribulan jatuh pada hari Jumaat, Sabtu atau
Ahad, gaji akan dibayar pada hari Khamis terdekat dengan tarikh itu.
Di sebalik kegembiraan mendapat gaji awal yang pasti mengurangkan
beban perbelanjaan menyambut hari perayaan, para penjawat awam perlu
juga berkira-kira jarak jumlah hari yang perlu ditempuh untuk bayaran
gaji seterusnya.
Ini amat penting untuk membantu pengurusan kewangan yang baik. Kalau
boleh janganlah ada yang sampai perlu bergolok gadai atau makan mi
segera sekeluarga sementara menunggu hari gaji.
Tempoh paling panjang yang perlu ditempuh nanti adalah 42 hari iaitu
selepas Hari Deepavali antara 11 Oktober hingga 23 November. Tempoh
kedua terpanjang adalah 40 hari antara 15 Jun hingga 25 Julai dan tempoh
ketiga terpanjang baru sahaja selesai dilalui daripada 19 Jan hingga 23
Februari lepas.
Jarak antara gaji Mac (23 haribulan) dan April (25 haribulan) akan
memakan 33 hari, serta tempoh gaji Ogos (24 haribulan) hingga September
(25 haribulan) akan mengambil 32 hari.
Pada bulan-bulan lain, sela hari antara gaji adalah seperti biasa antara 28 ke 30 hari.
Ada pelbagai cara boleh diguna untuk memastikan kedudukan kewangan
sentiasa ampuh. Tiga cara yang paling mudah adalah menjaga disiplin
berbelanja, membuat tabungan dan mencari pendapatan sampingan.
Penjagaan disiplin berbelanja bermaksud, si penerima gaji tidak
menyentuh gaji yang masuk awal, tetapi hanya berbelanja seperti biasa
seolah-olah tidak menerima wang tambahan di tengah bulan.
Ada juga yang mencadangkan, wang yang masuk awal dipindahkan ke akaun
lain untuk mengelakkan daripada ia dibelanjakan secara ‘tidak sengaja’.
Pun begitu, teknik ini mungkin agak sukar dilakukan bila tiba musim
perayaan. Keperluan untuk berbelanja lebih seperti persiapan sambutan
perayaan, kos perjalanan pulang ke kampung halaman serta pemberian
angpow semestinya memerlukan wang tambahan.
Oleh itu, tabungan awal amatlah digalakkan bermula sekarang. Sebagai
contoh, bagi umat Islam yang menyambut Aidilfitri, anda masih punya
kira-kira empat bulan untuk membuat tabungan.
Di samping menabung, perlu juga dipastikan agar diri tidak berbelanja
berlebih-lebihan sehingga membazir untuk sambutan hari raya kerana ia
adalah satu perbuatan yang ditegah agama.
Perlu juga diingatkan bahawa kenaikan harga barang keperluan juga boleh
merumitkan lagi keadaan. Harga ikan dan sayur di pasar-pasar borong
semakin meningkat, harga petrol juga tidak menunjukkan tanda penurunan
setakat ini.
Dalam dunia hari ini, penjanaan pendapatan tambahan boleh dibuat dengan pelbagai cara. Tinggal pilih sahaja yang mana disukai.
Bagi yang suka berniaga boleh memilih untuk melakukan perniagaan secara
konvensional mahupun dalam talian. Jika tiada produk sendiri untuk
diniagakan, menjadi ‘dropshipper’ adalah satu pilihan yang semakin
diminati hari ini.
Pemerhatian penulis juga mendapati ramai kaum wanita yang menyediakan
perkhidmatan menjual kek ‘home made’ dan juadah makan tengah hari. Ada
juga yang menjual produk kosmetik, produk kesihatan dan keperluan dapur.
Ada juga yang mengambil upah menjadi tutor, guru tiusyen, perkhidmatan penterjemahan, menjahit pakaian.
Turut mendapat sambutan hangat dengan menjadi pemandu teksi sapu dalam talian seperti Uber dan Grabcar.
Apa yang penting, setiap penjawat awam perlu faham bahawa pembayaran
gaji awal dibuat semata-mata untuk kemudahan mereka, tetapi dalam masa
yang sama mereka perlu menyesuaikan diri dengan situasi-situasi yang
mendatang.
(Komentar ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak membayangkan
pendirian Bernama dalam apa yang diperkatakan oleh penulis) –Bernama
No comments:
Post a Comment