Monday, March 20, 2017

Zam: Umno bayar harga yang mahal jika korbankan kawan

 | March 19, 2017
Umno terpaksa membayar harga yang mahal jika mereka pinggirkan "kawan lama" dalam BN yang membantah pindaan syariah untuk memikat PAS.
zainuddin-maidin-zahid-umno-pas-3
PETALING JAYA: Tan Sri Zainuddin Maidin memberi amaran Umno akan membayar harga yang mahal jika mereka korbankan “kawan lama” dalam Barisan Nasional untuk rakan baharu, PAS, dengan niat untuk mencetuskan “tsunami Melayu” pada pilihan raya akan datang.

Menulis di blognya hari ini, bekas menteri penerangan itu tidak bersetuju dengan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi pada Jumaat, yang berkata parti itu sedia kehilangan kawan lama tetapi akan dapat kawan baharu yang kumpulannya lebih besar.

Zahid berkata kerajaan persekutuan pimpinan Umno akan membentangkan rang undang-undang pindaan syariah yang dicadangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat tidak lama lagi.

“Sesiapapun akan memahami dengan mudah kenyataan itu sebagai Zahid bermaksud biarlah Umno berpisah dengan MCA, MIC atau lain-lain parti komponen yang menentang RUU 355 (cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah) asalkan dapat bekerjasama dengan PAS,” katanya.
“Kenyataan ini mempastikan pembentanganya tidak lagi akan ditangguhkan dan menampakan Umno nekad untuk bekerjasama dengan PAS walaupun mahal harga yang terpaksa dibayar untuk membangunkan ombak ‘Tsunami Melayu’,” katanya.

Beliau berkata Umno sedia mengorbankan kawan lama yang bersamanya sejak sebelum Malaysia merdeka, hanya untuk bekerjasama dengan parti pencabar yang pernah menganggap Umno sebagai “kafir”.
Bagaimanapun Hadi tidak mengalu-alukan kesediaan Zahid itu, tambahnya.
Sebaliknya, PAS mahu mengkaji lebih dahulu draf pindaan kerajaan sebelum di bawa ke Dewan Rakyat dan bagi menjamin hak orang bukan Islam dalam pindaan itu.

“Konklusinya ialah Umno bagitu ghairah untuk mendapat kerjasama politik dari PAS sekalipun terpaksa mengorbankan kawan lamanya, tetapi Pas lebih waspada dan masih sensitif terhadap perasaan bukan Melayu dan mahu menjaga maruah dalam kalangan ahlinya,” kata Zainuddin.

Zainuddin berkata PAS masih tidak yakin kerjasama dengan kerajaan pimpinan Umno akan menguntungkannya, atau parti lain akan lebih memastikan duduk penting PAS dalam kerajaan baharu selepas PRU-14.
Hadi mengemukakan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat tahun lepas.

Ia mahu meningkatkan hukuman maksimum kesalahan syariah kepada penjara 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan rotan. Hukuman mahkamah syariah sekarang ini terhad kepada penjara tidak melebihi 3 tahun, denda maksimum RM5,000 dan 6 sebatan rotan

No comments:

Post a Comment