Saturday, April 22, 2017

Bersatu perlu daya sentuhan baharu

Bersatu
SHAH ALAM - Sudah tiba masanya Bersatu dipimpin oleh orang yang lebih muda, profesional, mempunyai daya dan sentuhan baharu serta matlamat lebih jelas.
Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, hari ini Bersatu masih terbawa-bawa budaya lama dan kuno, dengan kepimpinan yang lanjut usia, sekali gus menghapuskan konteks jiwa muda dalam parti itu.

"Sekalipun Bersatu ada perjuangan, saya lihat ia bersifat jangka pendek, jadi ini tidak memberi daya tahan yang kuat kepada parti, tidak seperti parti-parti lain yang membawa agenda lebih besar.

"Sekiranya Bersatu menyatakan mereka menekankan untuk perpaduan Melayu, sudah ada parti-parti Melayu. Begitu juga, sekiranya mereka menekankan perkara bersifat ketelusan dan sebagainya, dahulu PKR pun memperjuangkan perkara sebegitu.

"Maka tidak hairanlah sekiranya ada pengasas parti bertindak keluar parti dan akhirnya mendedahkan kepincangan dalaman," katanya.
Md Shukri mengulas tindakan keluar parti salah seorang pengasas parti tersebut, Kamarulazman Habibur Rahman.

Pada sidang media pengundurannya, Kamarulazman menyatakan sebab utama beliau meninggalkan Bersatu kerana parti itu mengamalkan amalan kronisme.
Md Shukri berkata, itulah akibatnya apabila sebuah parti itu ditubuhkan atas sifat kecewa ataupun hanya mementingkan kepada objektif yang agak negatif.  

"Awal-awal lagi urus tadbir parti sudah pincang, jadi bagaimana untuk mereka menawarkan satu pakej kebajikan kepada masyarakat Malaysia secara keseluruhannya?
"Justeru, dalam konteks ini Bersatu harus berubah dengan menetapkan hala tuju perjuangan yang jelas supaya setiap pemimpin dan ahli faham," katanya.

Menurutnya, kepincangan itu juga menyebabkan hilangnya prestij Bersatu, dan parti itu juga berkemungkinan besar hilang tarikan awam, dan kepercayaan rakyat terhadap Bersatu.
"Kalangan pemimpin parti itu nama-nama popular, nama besar, tetapi gayanya gaya lama.

"Mereka tidak memberi perbezaan ketara berbanding parti lama yang mereka sertai sebelum ini, dalam konteks ini mereka gagal merevolusikan parti baharu itu, lebih baik berada dalam parti lama jika isu dan polemik yang sama dibangkitkan," katanya.

No comments:

Post a Comment