Sunday, April 23, 2017

Exco: Punca pelajar tahfiz rosak buah pinggang, kaki dipotong disiasat

 | April 22, 2017
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor berkata, keadaan pesakit kini kritikal dan HSI membuat siasatan lanjut sama ada dia kebetulan mempunyai penyakit lain.
Ayub-Rahmat-potong-kakiPETALING JAYA: Hospital Sultan Ismail (HSI) akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca penyakit dihadapi seorang pelajar tahfiz yang rosak buah pinggang selain kakinya terpaksa dipotong.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, pelajar lelaki berusia 11 tahun itu dimasukkan ke HSI sejak dua minggu lalu selepas mendakwa disebat oleh seorang pembantu warden pusat tahfiz dan tersebar luas dalam laman media sosial.
Ibu budak berkenaan mendakwa membawa anak mereka berubat secara tradisional sebelum merujuk ke hospital.

“Keadaan pesakit kini kritikal dan HSI membuat siasatan lanjut sama ada pesakit berkenaan kebetulan mempunyai penyakit lain kerana keadaannya tidak terhad kepada bahagian yang dikatakan dipukul.
“Pelajar berkenaan mempunyai darah beku dan terkena jangkitan hingga merebak ke buah pinggang,” kata beliau dipetik BH Online.
Katanya, masalah darah beku bukan saja di kaki yang dikatakan dipukul, tetapi juga tangan.

“Kaki pesakit sudah dipotong dan dialisis sedang dilakukan,” kata beliau menerusi kenyataan dikeluarkan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman mengesahkan menerima laporan daripada keluarga pelajar terbabit pagi tadi.

Ibu pelajar terbabit, Felda Wani Ahmad berkata, anaknya, Mohamad Thaqif Amin Mohd. Gaddafi, yang merupakan anak ke-3 daripada 5 beradik itu mendaftar masuk ke pusat tahfiz berkenaan pada 27 Januari lalu.
Kata Felda Wani, anak dia pada awalnya sangat gembira kerana dapat belajar di pusat tahfiz berkenaan.

“Namun sejak akhir-akhir ini dia berubah dan meminta saya mengeluarkannya dari situ setelah dia dan rakannnya sering dipukul oleh seorang pembantu warden di tapak kaki dan betis dalam keadaan sujud.”

Dia membuat keputusan mengeluarkannya dari tahfiz tersebut pada 31 Mac lalu setelah mendapati keadaan anaknya tidak lagi seperti dahulu dan seolah-olah ketakutan untuk kembali ke sana.

Felda Wani berkata, keadaan kesihatan anaknya itu semakin merosot setelah dibawa keluar dari pusat tahfiz berkenaan sebelum dimasukkan ke HSI, Rabu lalu.
Beliau dan keluarga yang tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang turut membuat satu laporan polis di Balai Polis Ulu Tiram pada 19 Mac lalu.

No comments:

Post a Comment