Sinar Harian
21 April 2017
KUANTAN - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob memberi amaran
tegas akan menyaman Adun Semambu, Lee Chean Chung sekiranya terus
membuat tuduhan tidak berasas dalam isu penjualan East Coast Mall (ECM).
Adnan berkata, dakwaan Chean Chung berhubung isu itu seolah-olah
menuduh dirinya sebagai seorang yang mengamalkan rasuah membabitkan
penjualan pusat membeli belah itu kepada syarikat dari Singapura.
"Saya memberi amaran tegas kepada Semambu jika terus mengaitkan saya dalam isu tersebut.
"Andaian tersebut memberi persepsi negatif dalam masa sama membuktikan kerja pembangkang yang sering menyebarkan pembohongan.
"Jika Semambu terus ulangi tuduhan ini, saya akan saman. Jika rasa saya
salah guna kuasa, Semambu boleh lapor kepada Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah (SPRM)," katanya ketika menggulung titah Diraja Pemangku Raja
Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada persidangan Dun, hari
ini.
Adnan menjelaskan, dalam Capital Land Malaysia Mall Trust terdapat
pegangan saham oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 9.8
peratus dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak 10 peratus.
Adnan turut mengingatkan Chean Chung supaya mendapatkan fakta yang tepat sebelum membuat sebarang tuduhan.
Chean Chung yang juga Ketua Penerangan AMK sebelum ini memuat naik
status di laman Facebook miliknya mengenai isu penjualan ECM dan
mendakwa kerajaan negeri menjual aset kepada Singapura.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Adnan berkata, peruntukan
sebanyak RM5juta disalurkan oleh kerajaan pusat bagi menyelesaikan
masalah bekalan air di loji rawatan air Sungai Bilut di Raub.
Beliau berkata, dengan kos itu diharap dapat menyelesaikan isu air yang membelenggu penduduk di kawasan itu.
No comments:
Post a Comment