PAS perlu membuat keputusan muktamad tentang tahalluf siyasi dan
kedudukan dalam kerajaan negeri Selangor, kata Setiausaha Agung PKR,
Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
"Saya memantau perjalanan Muktamar PAS terkini memandangkan ia berkait dengan strategi PKR dan Pakatan Harapan dalam PRU14.
"Tambahan pula, sebarang keputusan PAS mengenai tahalluf siyasi
dengan PKR akan ada kesan kepada penyertaan PAS dalam Kerajaan
Selangor," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
"Saya ambil maklum usul yang diluluskan tanpa bahas oleh Dewan Ulama
PAS dan tidak terkejut jika usul yang serupa akan terus diluluskan
sepanjang berlangsungnya Muktamar PAS pada hari ini.
"Saya juga kesal serangan dan kritikan kasar terhadap YAB Datuk Seri
Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR dan Menteri Besar Selangor yang dibuat
oleh perwakilan Dewan Ulama PAS semasa perbahasan semalam," tegasnya
lagi.
PAS juga, katanya, telah menzahirkan secara jelas tanpa berselindung
untuk memimpin beberapa negeri termasuk Selangor yang kini diterajui
PKR.
"Sebarang keputusan PAS yang bakal diambil adalah hak PAS dan PKR saya ulangi akan menghormatinya," katanya.
Begitupun, tambahnya, adalah lebih molek sebarang keputusan dimuktamadkan segera dan tidak dilengah-lengahkan.
"Kerana jika PAS memutuskan tahalluf siyasi dengan PKR secara
muktamad, perkara bermaruah dan terhormat yang perlu dibuat ialah bagi
semua ahli PAS yang mempunyai jawatan di dalam kerajaan Selangor
meletakkan jawatan sejurus selepas keputusan memutuskan hubungan itu
dimuktamadkan.
"Sebarang tindakan yang lain dari itu akan memualkan rakyat kerana
ruang politik pembangkang akan dilihat banyak berkisar kepada serangan
kepada kawan sendiri (termasuk mengisytiharkan bertanding di
kerusi-kerusi PKR) sedangkan pada masa yang sama masih mahu menerima
habuan dari jawatan yang disandang di Selangor.
"Di mana logiknya memutuskan hubungan dengan AMANAH dan DAP (sebelum
ini) dan kini mahu memutuskan hubungan dengan PKR, tetapi pada masa yang
sama terus duduk bekerjasama sebagai sebuah kerajaan di Selangor?
"Oleh itu, saya menunggu keputusan muktamad dari Muktamar PAS dan PKR
akan terus menggarap kekuatan semua pihak yang mahu menamatkan
pentadbiran Datuk Seri Najib Razak," tegasnya.
Malaysiakini 28/4/17
No comments:
Post a Comment