Malaysiakini 16/5/17
PAS menafikan dakwaan Ketua Biro Strategi dan Dasar BERSATU, Datuk Dr
Rais Hussin Mohamed Ariff bahawa terdapat lima individu dalam parti itu
yang bertanggungjawab menggagalkan rancangan mereka untuk bersatu.
Sebaliknya Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata
kerjasama itu gagal disebabkan sikap pimpinan BERSATU sendiri terhadap
parti itu dan kenyataan mereka berhubung agenda memperkasa Islam dalam
pentadbiran, termasuk RUU355.
“Adalah tidak benar meletakkan kegagalan perundingan kepada anggota Jawatankuasa Perundingan.
“PAS menggantung perundingan disebabkan beberapa kenyataan Tun Dr
Mahathir (Mohamed) khasnya yang bertentangan dengan dasar dan perjuangan
PAS,” kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataannya hari ini.
Katanya, rundingan itu adalah mandat daripada Jawatankuasa PAS Pusat
di mana beliau menjadi pengerusi manakala lima nama yang disebut oleh
Rais Hussin adalah ahli jawatankuasanya.
Pagi tadi pemimpin BERSATU itu mendakwa wujud sekumpulan lima individu PAS yang bertanggungjawab menggagalkan rancangan mereka.
Menganggap mereka sebagai "bekerja keras untuk Umno" Rais berkata
mereka adalah Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Ketua
Penerangan, Nasrudin Hassan; Anggota Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr
Mohd Khairuddin Aman Razali, Anggota Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik
Abdul Aziz, dan Pengarah Penyelidikan PAS, Ahmad Zuhdi Marzuki.
Bagaimanapun, Rais mengingatkan, apa yang dilakukan kelima-lima
pemimpin PAS itu adalah mengkhianati kepercayaan yang diberikan rakyat
kepada mereka.
Katanya, beliau yakin "sebahagian besar" akar umbi PAS tidak akan merelakan kerjasama PAS dan Umno berlaku.
Rais juga mendakwa lima nama yang disebutkannya itu memburuk-burukkan
BERSATU namun pihaknya tetap meneruskan rundingan dengan PAS atas sikap
memaafkan.
Katanya, ada harapan pada rundingan BERSATU - PAS dan ia disambut
baik oleh beberapa pemimpin lain, termasuk Tuan Ibrahim dan Datuk
Mustafa Ali yang menghadirinya.
Mustafa adalah bekas setiausaha agung PAS dan pengarah pilihan raya
parti itu sebelum tempatnya digantikan oleh Ahmad Samsuri yang juga
adalah setiausaha politik Presiden PAS Datuk Seri abdul Hadi Awang,
baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment