3/5/17
ULASAN Banyak sudah yang
diperkatakan berkenaan DAP, terutama kesanggupan Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (BERSATU) bekerjasama dengan parti itu.
Hampir semua cemuhan terhadap DAP diasaskan kepada kebencian
terhadapnya sebagai parti totok Cina. DAP dipercayai berjuang
semata-mata untuk bangsa Cina.
Anehnya parti MCA yang 100 peratus Cina dan berjuang hanya untuk kepentingan orang Cina tidak ditolak oleh orang Melayu.
Walaupun MCA mempunyai hubungan rapat dengan Parti Komunis China dan
kita menolak fahaman Komunis dan telah berperang dengan mereka, ini pun
tidak menjadikan MCA musuh kepada Umno dan ramai orang Melayu.
Walaupun
MCA menuntut supaya diberi jawatan timbalan perdana menteri kedua bagi
menjadinya lebih kuat dalam parti Barisan Nasional, ini juga tidak
menarik bantahan dari ahli Umno dan ramai orang Melayu.
Sebenarnya parti DAP bukan parti perkauman Cina. Ia adalah parti berbilang kaum walaupun majoriti dari ahlinya Cina.
Terdapat Melayu, India dan suku kaum Sabah Sarawak dalam DAP. Ada
wakil rakyat DAP yang terdiri dari orang Melayu dan India. Pemimpin
besar DAP dahulu ialah Karpal Singh.
DAP banyak mengguna bahasa kebangsaan dalam mesyuaratnya. Lagu partinya juga dinyanyi dalam bahasa kebangsaan.
Sebagai anggota dalam Pakatan Harapan DAP telah menyatakan secara
terbuka dan menandatangani penyataan sokongan Pakatan Harapan kepada
Perlembagaan Malaysia.
DAP bersama Pakatan Harapan dan secara bersendirian menyokong dan mengiktiraf:
1) Institusi Raja-Raja Melayu
2) Hak Istimewa Melayu dan Bumiputera
3) Bahasa Melayu ialah Bahasa Kebangsaan
4) Agama rasmi Malaysia ialah Islam
2) Hak Istimewa Melayu dan Bumiputera
3) Bahasa Melayu ialah Bahasa Kebangsaan
4) Agama rasmi Malaysia ialah Islam
Kepimpinan DAP tidak pernah tuntut jawatan perdana menteri atau timbalan perdana menteri.
Pimpinan tertinggi DAP mengaku bahawa oleh kerana penduduk Cina
adalah minoriti di Malaysia, tidak mungkin DAP mendirikan kerajaan di
peringkat pusat di Malaysia, jauh sekali menjadi perdana menteri
walaupun jika DAP menang semua kerusi yang ditandingi.
Daripada 222 kerusi parlimen, hanya 52 sahaja yang mempunyai majoriti
Cina. Untuk mendirikan kerajaan, DAP perlu memiliki lebih 111 kerusi.
Jelaslah DAP tidak memiliki cukup kerusi. Tetapi ia boleh
menganggotai kerajaan campuran walaupun kurang daripada kerusi Melayu.
Demikian juga MCA dan Gerakan.
Mungkin juga parti berbilang kaum Melayu memberi beberapa kerusi
kepada calon bukan Melayu. Tetapi majoriti daripada tiga buah parti
kepimpinan Melayu akan meletak calon Melayu dan PPBM sebagai parti
Melayu tidak mungkin mencalon dan menyokong bukan Melayu sebagai perdana
menteri.
Gabungan parti-parti pembangkang tidak mungkin didominasi oleh DAP selain di Pulau Pinang.
Kenyataan Najib bahawa jika Umno kalah maka Kit Siang akan menjadi perdana menteri tidak berasas sama sekali.
Sebaliknya Najib sudah pun mengadakan perjanjian ketenteraan dengan
China dan seorang penulis China menyatakan pelabuhan Melaka dan Kuantan
yang sedang dibangun dengan berbillion ringgit modal syarikat China akan
diguna oleh tentera laut China.
Kemenangan Najib dan Umno akan mengikat Malaysia dengan negara
China dan Malaysia tidak lagi dapat mengamal dasar luar berkecuali
seperti dahulu.
Sebenarnya yang patut ditakuti oleh Umno dan orang Melayu ialah Najib sebagai perdana menteri, bukan Kit Siang.
Rekod Najib sebagai perdana menteri bukanlah sesuatu yang boleh
dibanggakan oleh rakyat Malaysia, terutama orang Melayu. Sebaliknya
rekod DAP di Pulau Pinang tidak seburuk kerajaan BN di pusat.
DR MAHATHIR MOHAMAD Pengerusi BERSATU dan bekas perdana menteri Malaysia.
Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment