Monday, May 1, 2017

Peluang tawan Kelantan cerah tapi Umno tak boleh selesa, kata Annuar

 | April 30, 2017
Annuar berkata jangan terlalu awal membuat bayangan mahu memerintah Kelantan dengan mudah kerana tidak semua perkara yang dilihat itu mudah dicapai.
annuar-umno
KOTA BHARU: Umno Kelantan tidak perlu berada dalam kedudukan selesa walaupun terdapat pihak membayangkan Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang cerah untuk kembali mentadbir negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Dipetik Bernama, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, Umno Kelantan sepatutnya perlu membuat persiapan rapi bagi menghadapi pilihan raya tersebut.

Dalam satu laporan berasingan awal hari ini, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, BN mempunyai peluang paling cerah untuk menamatkan penguasaan 27 tahun kerajaan PAS Kelantan.
“BN mampu kembali mentadbir kerajaan negeri ini, tetapi perlu mengatur strategi mulai sekarang. Strategi yang diatur akan membolehkan BN merampas semula pemerintahan kerajaan daripada PAS yang dipegang sejak 1990,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau, BN perlu segera mengatur strategi bagi memenangi lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan pada PRU14.
Annuar berkata: “Kita jangan terlalu awal membuat bayangan mahu memerintah Kelantan dengan mudah kerana tidak semua perkara yang dilihat itu mudah dicapai, sebaliknya kita perlu fokus dengan kerja-kerja kita kepada rakyat negeri ini.”

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, perkara penting adalah meningkatkan prestasi dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat bagi membolehkan mereka memberikan mandat kepada BN untuk mengambil alih pentadbiran negeri ini daripada PAS.

“Saya fikir apabila kita terus melaksanakan kerja-kerja baik dan kita terus menunjukkan integriti tinggi dan terus beristiqamah dengan apa yang kita lakukan kepada rakyat, mereka akan memberikan kepercayaan kepada kita untuk memerintah.

“Apabila rakyat memberikan kepercayaan maka apa yang kita mahu, kita akan berjaya, namun kita juga perlu ingat semua parti politik mahu kuasa dan mandat rakyat oleh itu kita tidak boleh berasa selesa kerana politik tidak bersendirian,” katanya.

Annuar percaya PRU14 tidak akan diadakan secara tergesa-gesa oleh kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Ada orang kata jika tarikh PRU terlalu lama akan memberikan peluang kepada pembangkang menjadi kuat, itu tidak semestinya, ada juga pembangkang sudah wujud lama namun hancur juga.

“Saya percaya perdana menteri tidak berada dalam kedudukan tertekan, terburu-buru, saya nampak beliau sangat memberikan tumpuan kepada agenda nasional demi kepentingan rakyat,” kata beliau lagi.

No comments:

Post a Comment